Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 15, 2015

[PEKAN] MASIH RAMAI TAK ASING SAMPAH


Masih ramai tak asing sampah


Pemantauan yang dilakukan mendapati perlaksanaan pengasingan sisa pepejal di punca yang telah berkuat kuasa bermula pada 1 September lalu di tujuh negeri masih kurang diberi perhatian oleh penduduk setempat.

Pengarah SWCorp Pahang, Datuk Mohd Nor Afandi Abd Aziz berkata, berdasarkan kepada rekod peningkatan kutipan barangan kitar semula serta pemantauan anggota penguatkuasa SWCorp mendapati kebanyakan isi rumah menerima baik dan menjalankan pengasingan sisa di punca ini.

Menurutnya, proses pengasingan sisa di punca ini membabitkan pengasingan sisa pepejal di rumah mengikut komposisi sisa iaitu plastik, kertas dan lain-lain antaranya logam, aluminium, dan kaca.

“Sisa kitar semula yang telah diasingkan ini perlu dimasukkan ke dalam plastik dan diletakkan di tepi tong sampah beroda pada hari kutipan bersama-sama dengan sisa kebun dan sisa pukal jika ada.

“Manakala, sisa domestik atau sisa baki seperti sisa dapur, sisa makanan, lampin pakai buang dan bahan-bahan kotor pula perlu dimasukkan ke dalam plastik dan diletakkan di dalam tong sampah beroda,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau mendedahkan masih terdapat segelintir isi rumah yang masih berdegil dan notis amaran telah dikeluarkan kepada mereka supaya mematuhi aktiviti pengasingan yang termaktub di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) termasuk di Negeri Pahang.

“Pihak SWCorp menggesa semua isi rumah supaya melaksanakan pengasingan sisa di punca bagi mengelakkan dari menerima notis amaran ini dan juga kompaun yang akan bermula pada 1 Jun 2016.

“Masyarakat harus sedar bahawa ia (pengasingan) merupakan salah satu usaha kerajaan bagi mengelakkan pembuangan bahan yang boleh dikitar semula dan secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa perkhidmatan kutipan sisa pepejal di taman-taman perumahan masih dilaksanakan seperti biasa iaitu dua kali kutipan untuk sisa domestik dan sekali kutipan untuk sisa kitar semula, pukal dan kebun dalam seminggu.

Menurutnya, SWCorp akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mewujudkan kesedaran kepada isi rumah tentang kepentingan dan kaedah pelaksanaan pengasingan sisa di punca ini.

“Kempen secara berterusan ini amat penting bagi memastikan semua isi rumah yang terlibat dengan pelaksanaan ini mendapat maklumat secukupnya bagi melaksanakan peraturan baharu ini dan meningkatkan penerimaan masyarakat sekaligus 
melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca ini.

“Pihak SWCorp juga berharap agar semua pihak memberi kerjasama dan bertindak secara aktif dengan melaksanakan pengasingan sampah sekali gus menyokong usaha kerajaan ini”, katanya.

1 comments:

  • Anonymous says:
    October 15, 2015 at 5:24 PM

    Tak nak asingkan sebab bila lori sampah tiba semua sampah dicampak kedalam lori yang sama.

    Apa guna asingkan ?

share2