Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 15, 2015

LAPORAN MH17 BERI KETENANGAN BUAT KELUARGA


MH17



Laporan tragedi MH17 hasil siasatan pasukan penyiasat Belanda membuatkan keluarga mangsa tragedi itu berasa lebih tenang dan memahami saat akhirnya dilalui oleh insan yang disayangi.

Pasangan Roger dan Jill Guard adalah antara penumpang MH17, yang mana akhirnya menjadi mangsa dalam tragedi penembakan pesawat tersebut di Ukraine.

Anak lelaki mereka, Paul berkata, laporan lembaga keselamatan Belanda menunjukkan syarikat penerbangan MAS perlu melaksanakan langkah kawalan dan keselamatan yang lebih ketat dalam usaha untuk melindungi penerbangan pesawat komersial dari zon konflik.

“Daripada apa yang disampaikan (menerusi laporan tersebut), ayah dan ibu saya tidak menderita cukup lama untuk merasai saat kematiannya, jadi saya boleh terima semua ini.

"Bagaimanapun saya terkejut dengan mengetahui bahawa tidak ada amaran dikeluarkan untuk memaklumkan pesawat tersebut sedang terbang melalui kawasan yang mempunyai senjata ketenteraan merbahaya. Saya rasa penerbangan tersebut merupakan satu penerbangan yang sangat berisiko dan ia merupakan satu kegagalan yang sangat besar,” katanya seperti yang dipetik menerusi sebuah laporan antarabangsa.

Menurutnya lagi, laporan yang dikeluarkan membolehkan semua pihak untuk mengkaji keperluan dan memperbaiki kesalahan untuk mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang.

“Adalah sangat penting bagi kita untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab dalam insiden ini, dan kita juga perlu mengelakkan mana-mana pihak melakukan jenayah yang sama pada masa akan datang,” katanya lagi.

Rachel Rodrigues merupakan rakyat Australia yang kehilangan abang dan kakak iparnya dalam tragedi terbabit.

Menurutnya, meskipun insiden tersebut merupakan satu tragedi yang amat dahsyat, syarikat MAS bukanlah pihak yang harus dipertanggungjawabkan dalam tragedi tersebut.

“Saya rasa lega apabila dapat tahu lebih lanjut tentang apa yang sebenarnya berlaku dan bagaimana ia berlaku.

“Saya juga faham bahawa MAS hanya menjalankan tugas mereka mengikut arahan yang ditetapkan pada hari kejadian. Saya juga faham bahawa banyak pesawat lain turut melalui laluan yang sama dan laluan berdekatan di kawasan itu pada hari tersebut,” katanya.

Bersyukur dengan maklumat yang diterima, dia bagaimanapun merasakan bahawa dia dan keluarganya tidak perlu mengetahui pihak yang bertanggungjawab melancarkan peluru berpandu ke atas MH17.

“Sudah tentu kita akan rasa lega sekiranya semua pihak dapat memastikan kejadian tersebut tidak akan berlaku lagi.

“Tapi kami dapati, dengan mengetahui siapa yang bertanggungjawab terhadap tragedi itu tidak akan membawa apa-apa perubahan buat kami,” katanya lagi.

Sumber

0 comments:

share2