Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 15, 2015

[KUANTAN] ASAS AKIDAH DAN IMAN PERLU DALAM PERNIAGAAN


Sambutan Maal Hijrah tahun ini turut memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh di peringkat negeri dalam pelbagai bidang.

Di PAHANG, pengarah urusan syarikat fabrikasi industri minyak dan gas, Asturi Metal Builders (M) Sdn Bhd Datuk Md Sharif Shamsuddin dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Pahang yang disampaikan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini.

Pemilihan Md Sharif, 65, anak jati Jerantut itu dibuat berdasarkan sumbangannya dalam bidang perniagaan dan juga pembangunan Islam di Pahang, termasuk mewakafkan Masjid Muamalat Assharif di Bandar Damansara di sini, yang boleh memuatkan 650 jemaah dalam satu-satu masa.

Selain itu, Md Sharif yang juga pembayar zakat terbesar individu di Pahang pada 2010, 2011, dan 2012 juga mewujudkan kelas belajar al-Quran Assharif di Indera Mahkota di sini, dengan matlamat mengajar golongan dewasa menggunakan sukatan silibus yang betul secara percuma.

Berkongsi rahsia kejayaannya dalam bidang perniagaan, Md Sharif berkatabeliau menitikberatkan agama dan konsep berasaskan syariah Islam dalam setiap urusan perniagaan selain tidak takut untuk menginfakkan harta untuk perkembangan agama serta bersedekah kepada mereka yang memerlukan.

“Pandangan saya ramai peniaga Melayu tidak berjaya kerana tidak meletakkan asas akidah dan iman dalam perniagaan, contohnya tidak mahu membayar zakat dan memaksa kakitangan untuk membayar zakat. Jangan ada unsur penipuan, jaga kualiti, timbangan dan hubungan,” katanya yang menerima wang tunai RM10,000 dan sijil iringan.

Md Sharif, yang mempunyai empat cahaya mata berusia 28 hingga 36 tahun hasil perkongsian hidup dengan Datin Sharifah Fatimah Syed Omar, 65, menambah beliau kini sedang menyiapkan buku mengenai rahsia perniagaannya untuk dikongsi bersama masyarakat.
Sesi bergambar bersama penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang bersama KDYTM Tengku Mahkota Pahang
Sementara itu, penggerak masyarakat Orang Asli di Pejabat Agama Islam Kuala Lipis, Mokhtar Mat Tahar, 57, menerima Anugerah Mubaligh Saudara Baru sebagai menghargai sumbangannya membawa 1,701 Orang Asli memeluk Islam sejak 1991.

Berkongsi pengalamannya, Mokhtar berkata beliau pernah menghilir sungai dengan sebatang buluh dari Kampung Pantos, Kuala Lipis ke Kampung Kuala Serau, Sungai Koyan kerana tidak mempunyai duit untuk menyewa bot manakala kawasan berkenaan semasa itu, tidak mempunyai jalan raya.

Mokhtar juga pernah menunggang motosikal selama empat jam untuk ke kawasan Orang Asli di Kuala Lipis menggunakan jalan balak, selain perlu berjalan kaki seorang diri di dalam hutan selama enam jam kerana motor rosak semasa pulang berdakwah.

“Bagaimanapun, kepenatan dan sakit-sakit ke sana sini akan hilang apabila ada yang memeluk agama Islam. Malah ada kawasan yang saya kunjungi masih belum diberikan hidayah untuk memeluk Islam, namun saya tidak akan berputus asa,” katanya yang menerima wang tunai RM5,000 dan sijil.

Mokhtar menambah beliau masih berhubung dengan mereka yang dibawa masuk ke dalam Islam, bagi memastikan mereka mendapat pendidikan dan pemahaman yang betul mengenai agama.

0 comments:

share2