Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 17, 2015

‘JANGAN LEMPAR TUDUHAN MELULU'


Jangan lempar tuduhan melulu


Gua Musang - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menegur tindakan sesetengah pihak yang memburukkan pasukan mencari dan menyelamat tujuh murid Orang Asli yang hilang di Pos Tohoi.

Shahidan berkata, tuduhan mengatakan pasukan terlibat tidak serius dalam menjalankan tugas hingga mengambil masa terlalu lama untuk menemui mangsa adalah tidak benar dan seolah-olah tidak menghargai pengorbanan semua yang terlibat.

Menurutnya, keadaan itu bukan disebabkan pasukan terlibat culas dalam melaksanakan tugas, sebaliknya operasi mencari tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang dilakukan sejak 23 Ogos lalu, amat mencabar kerana mereka terpaksa meredah hutan, bukit dan juga sungai.

“Mereka yang melemparkan tuduhan tersebut tidak pernah datang untuk menjenguk sendiri keadaan pasukan mencari dan menyelamat yang telah menjalankan tugas hampir dua bulan,” katanya kepada pemberita di Pos Tohoi, baru-baru ini.

Beliau sebelum itu menaiki bot menyusuri Sungai Perias di Pos Tohoi untuk meninjau operasi mencari seorang lagi mangsa yang masih belum ditemui dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa terlibat.

Setakat ini, enam mangsa telah ditemui iaitu Norieen Yaakob, 10 dan Mirsudiar Aluj, 11, (yang ditemui selamat) serta empat rangka, bagaimanapun seorang lagi mangsa masih belum ditemui.

Shahidan berkata, beliau menaiki bot menyusuri sungai berkenaan untuk merasai sendiri cabaran dihadapi pasukan mencari dan menyelamat ketika melakukan operasi.

“Memang mencabar. Pasukan yang kita bentuk ini amat hebat kerana bersemangat dalam menjalankan tugas walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Kita perlu beri semangat kepada pasukan terlibat kerana mereka tetap meneruskan operasi tidak kira masa. Saya terkilan kerana ada yang melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap mereka,” katanya.

Beliau juga berharap keluarga kesemua mangsa terlibat tabah menghadapi ujian itu.

Menurutnya, tiada siapa yang mahu kejadian seumpama itu berlaku dan semuanya merupakan ketentuan Ilahi.

1 comments:

  • Anonymous says:
    October 17, 2015 at 12:16 PM

    Jgn terlalu mudah menuding jari kpd pihak guru dan pihak yg berusaha mjlnkan tugas mrk dlm misi menyelamat tersebut.
    Klu ikutkan dlm akhbar mangsa mengetahui dan nampak pasukan penyelamat dtg ke kawasan mrk tetapi lari bersembunyi hingga mrk gagal dikesan.Apa yg berlaku adalah takdir dan seterusnya pihak berkuasa dan yg celupar membuat tuduhan duduk semeja dan cari kesimpulan terbaik agar perkara ini tidal berlaku lagi.

share2