Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 20, 2015

[MARAN] AL-AMIN TERPAKSA LUPAKAN SEKOLAH


Al-Amin terpaksa lupakan sekolah
Adun Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin menziarahi Mohd Al-Amin yang terpaksa melupakan seketika alam persekolahan kerana diserang penyakit saraf.


Seorang pelajar tingkatan empat terpaksa melupakan alam persekolahan buat sementara waktu selepas diserang penyakit berkaitan saraf sejak tiga bulan lalu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 2 itu, Mohd Al-Amin Abdul Hamid, 16, tidak mampu berjalan dan kurang bertenaga akibat serangan saraf di seluruh badan kecuali bahagian otak.

Bapanya, Abdul Hamid Ghazali, 53, berkata, penyakit itu mula dikesan sebaik anak tunggalnya menghidap demam dan mengadu sakit kaki ketika hendak berdiri atau berjalan.

Menurutnya, kesakitannya merebak ke seluruh badan yang menyebabkan penurunan berat badan dan sukar untuk bercakap.

“Pihak hospital maklumkan anak saya diserang penyakit saraf tapi saya bersyukur sebab ia belum merebak sampai ke otak. Nasib baik saya cepat bawa dia ke hospital.

“Dia tak boleh berjalan. Dulu tangan pun susah nak gerak dan tak boleh bercakap langsung.

“Memang tak ada pilihan lain, anak saya tak boleh teruskan sekolah sehingga tahap kesihatannya mengizinkan,” katanya.

Abdul Hamid berkata, semenjak menjalani rawatan fisioterapi setiap hari Isnin di Hospital Jengka, keadaan Al-Amin bertambah baik dan semakin bertenaga dengan suara kembali pulih namun masih tidak dapat berjalan.

Menurutnya, bantuan kerusi roda yang diterima daripada Adun Kuala Sentul memudahkan urusan ke hospital dan sebagai sokongan agar anaknya berupaya menggerakkan anggota badan.

“Dia satu-satunya anak saya. Doa saya agar dia pulih seperti biasa,” katanya.

0 comments:

share2