Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 21, 2015

[KUANTAN] TERIMA WANG PENDAHULUAN SARA HIDUP


Terima wang pendahuluan sara hidup


Seramai 25 bekas penuntut Kolej Antarabangsa IKIP tajaan Yayasan Pahang yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Yarmouk, Jordan menerima USD1,000 sebagai wang pendahuluan sara hidup.

Pada masa yang sama, mereka turut menerima penambahan elaun sara hidup RM5,000 yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob dalam satu majlis di Yayasan Pahang, petang semalam.

Adnan berkata, pelajar tersebut akan berangkat ke Jordan 25 Ogos ini bagi menyambung pengajian selama dua tahun di Universiti Yarmouk.

Menurutnya, sebelum ini jumlah keseluruhan elaun sara hidup kepada penuntut yang melanjutkan pengajian ke universiti itu berjumlah RM20,000 setahun.

“Bagaimanapun Kerajaan Negeri mempertimbangkan tambahan elaun sara hidup RM5,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM25,000 bagi meringankan beban mereka ekoran kejatuhan nilai mata wang ringgit,” katanya.

Adnan berkata, sehingga kini, Yayasan Pahang telah memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk perbelanjaan pendidikan bagi meneruskan legasi memacu transformasi pendidikan memartabatkan masyarakat negeri ini.

Menurutnya, bagi mencapai hasrat itu, Yayasan Pahang menawarkan penajaan bagi program berkembar Ijazah Sarjana Muda Syariah (Ekonomi dan Perbankan Islam) dengan kerjasama Kolej Antarabangsa IKIP dan Universiti Yarmouk.

“Program selama dua tahun di IKIP dan dua tahun lagi di Universiti Yarmouk mampu melahirkan pelajar yang berkepakaran dalam bidang tersebut bagi menjana keperluan tenaga kerja yang berwibawa di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini Yayasan Pahang memperuntukkan RM20 juta untuk manfaat 283 pelajar bagi mengikuti program berkembar itu.

0 comments:

share2