Seri Manjung - Misteri kehilangan duit tabung di surau An-Nur Fasa 1D, di sini terbongkar selepas seorang lelaki berjaya diberkas ahli jawatankuasa surau berkenaan ketika sedang leka 'mengail' duit, awal pagi kelmarin.
Ahli jawatankuasa surau itu, Md Kusai Kastaman, 48, berkata, pihaknya menyedari kejadian itu selepas melihat sebuah kereta Wira memasuki kawasan surau dan menurunkan dua lelaki kira-kira jam 3.20 pagi.
Menurutnya, dua lelaki itu terus masuk ke dalam surau dan pihaknya terus menerpa ke arah mereka.
"Kami hanya berjaya menangkap seorang sahaja daripada mereka kerana seorang lagi berjaya melarikan diri,” katanya.
Katanya, lebih kurang setengah jam kemudian, seorang wanita menaiki motosikal juga ditahan ahli jawatankuasa surau kerana turut disyaki ada kaitan dengan lelaki yang melarikan diri berkenaan.
“Hasil siasatan terhadap wanita itu, dia mengaku lelaki yang melarikan diri itu adalah tunangnya.
"Kesemua yang ditangkap diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Md Kusai berkata, sebelum ini, pihaknya pernah bertembung dengan beberapa individu yang dipercayai mahu melakukan perbuatan tidak bermoral berkenaan, namun mereka berjaya melarikan diri.
"Selepas itu, pada Jun lalu, pihak surau mengambil keputusan untuk memasang CCTV bagi memudahkan lagi pengesanan pencuri berkenaan.
"Malah kami juga sepakat membuat rondaan dan intipan pada setiap malam bermula jam 12 tengah malam sehingga jam 4 pagi," katanya.
Katanya, perkara itu harus diberi perhatian secara serius kerana ianya boleh berlaku di tempat lain.
“Kami percaya perkara ini seolah-olah sudah menjadi satu trend untuk mencuri duit tabung surau.
“Jadi kami berharap supaya surau-surau lain juga turut lebih berhati-hati dan peka terhadap tabung masing-masing,” katanya.
Sementara itu, setiausaha surau berkenaan, Mohd Rashidi Adnin berkata, pada mulanya pihak surau tidak menyedari berlaku kecurian duit tabung sehinggalah bendahari surau menjumpai gula-gula getah di dalam tabung berkenaan.
“Kami sedar perkara ini sejak setahun lalu apabila ada pihak yang memberi derma dan apabila tabung derma dibuka keesokan harinya duit dalam jumlah besar seperti RM50 hilang dan hanya ada RM1 sahaja selain menjumpai gula-gula getah.
“Dari situ kami mengesyaki ada kes mencuri duit tabung surau dan sejak itu kami dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Seri Manjung 7 mengadakan rondaan setiap malam,” katanya.
Katanya, kehilangan duit surau sering berlaku sehingga kekerapannya semakin membimbangkan.
“Kadangkala kejadian berlaku tiga hari sekali menyebabkan ahli jawatankuasa surau semakin bimbang dengan keadaan itu.
“Pencuri berkenaan tidak mengambil semua duit yang ada dan meninggalkan sebahagiannya mungkin untuk mengaburi mata kami.
“Sejak itu, kami lebih mengadakan rondaan malam serta membuat intipan,” katanya.
Mohd Rashidi berkata, pencuri berkenaan menggunakan kaedah mengail duit di dalam tabung.
“Daripada pemerhatian CCTV yang kami pasang, mereka menggunakan kaedah 'mengail' sama ada menggunakan lidi yang dilekatkan dengan pita pelekat di hujung ataupun menggunakan kad telefon yang ditebuk dan diikat dengan benang manakala kad telefon itu diletakkan gam ataupun pita pelekat untuk menyangkut duit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian itu.
0 comments:
Post a Comment