Georgetown - Seorang jurujual lelaki berhadapan detik cemas apabila diugut dengan pisau pemotong kertas oleh seorang wanita dalam cubaan samun di kedai serbaneka 24 jam di Jalan Macalister awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.42 pagi, jurujual warga Nepal itu kerugian RM182.60 apabila wang tunai dan dua kotak rokok dilarikan suspek.
Bagaimanapun, mangsa dan rakannya yang berada di kaunter tidak dicederakan.
Difahamkan, suspek berpakaian gelap dengan topi keledar bervisor gelap masuk ke kedai itu berpura-pura untuk membeli dua kotak rokok.
Ketika itu, suspek dipercayai secara tiba-tiba mengeluarkan pisau pemotong kertas dari seluarnya dan mengetuk kaunter sebelum menyamun.
Mangsa dan rakannya yang takut dengan tindakan itu dipercayai menyerahkan wang tunai RM155 kepada suspek.
Sejurus itu, suspek meloloskan diri dengan menaiki motosikal yang ditunggang seorang lelaki di luar kedai.
Ketua Polis Daerah Timur Laut,Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid mengesahkan kejadian itu, ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Sekysen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan bersenjata.
"Individu yang mempunyai maklumat, boleh tampil di mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan," katanya.
0 comments:
Post a Comment