Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 9, 2015

'LOKMAN BUDAK BAIK, SAYA REDHA ALLAH AMBIL DIA'


'Loqman budak baik. Saya reda ALLAH ambil dia'


JASIN - “Atuk, Loqman nak pergi daki Gunung Kinabalu. Loqman nak lihat kebesaran ALLAH SWT."

Abu Bakar Amin, 76, masih ingat kata-kata cucunya, Allahyarham Muhammad Loqman Abd Karim, 22, Rabu dua minggu lalu.

Loqman adalah seorang daripada mangsa gempa bumi di Sabah.

“Kali terakhir saya bersamanya kira-kira dua minggu lalu. Arwah kata dia sanggup buat apa saja untuk saya selagi ada kesempatan. Bila dia dah cakap macam tu, saya ajak dia jumpa datuk saudaranya di Kluang. Tanpa soal dia turut kehendak saya.

"Masa dalam perjalanan ke sana itulah dia beritahu nak ke Gunung Kinabalu dan mohon mendoakan keselamatannya," katanya semasa bertemunya di Kampung Chinchin, di sini.

Abu Bakar yang tidak dapat menahan sebak semasa menceritakan detik terakhir bersama cucunya itu turut menyifatkan Loqman memiliki hati suci kerana mahu melihat keindahan dan kebesaran ciptaan Allah di gunung terbabit.

“Saya reda ALLAH ambil Loqman lebih dulu daripada saya.

"Loqman budak baik. Semua yang mengenalinya menyampaikan tentang kebaikan Loqman. Tiada satu pun cerita negatif tentang cucu sulung saya itu yang saya dengar," katanya.

Menurut Abu Bakar, Loqman ke Sabah Khamis lalu dan mula mendaki gunung berkenaan pada Jumaat.

Dia turut menceritakan, kedua-dua ibu bapa Loqman dan dua lagi adik-beradiknya ke Vietnam minggu lalu untuk membantu anak-anak yatim di sana.

“Mereka ke Vietnam, manakala saya ke Narathiwat, Thailand kerana membantu 53 anak yatim di sana.

“Sepatutnya pulang dari Sabah minggu ini, Loqman pula akan menyusul ke sana. Saya pesan pada Loqman bawa duit lebih supaya mudah untuk menginfakkan kepada anak-anak yatim di Vietnam nanti,” katanya.
Namun, perkhabaran yang menimpa Loqman sebaik tiba di Melaka Jumaat lalu, benar-benar memeranjatkan Abu Bakar.

Abu Bakar yang berdukacita menerima berita itu hanya mampu berdoa kepada ALLAH supaya roh Allahyarham dicucuri rahmat.

Sementara itu, kedua-dua ibu bapa Allahyarham, Izzah Abu Bakar, 48, (Pensyarah di Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka) dan Abd Karim Mohd Yazam, 52, (Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Bendahara, Jasin) bergegas ke Kota Kinabalu selepas dimaklumkan berita berkenaan.

Abu Bakar menyifatkan pelajar tahun empat Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa di Lembah Pantai adalah seorang yang taat dan baik kepada ibu bapa.
Sebak ingat nasihat abang

Adik Allahyarham, Muhammad Lufti Hakim, 16, reda dengan pemergian abangnya yang ditemui kali terakhir sebulan lalu.

Katanya, pada hari kejadian, dia bersama adik bongsu, Sarah Izzati, 14, sebenarnya meletakkan harapan tinggi Muhammad Loqman akan terselamat daripada menjadi mangsa gempa bumi berkenaan.

Bagaimanapun, mereka pasrah apabila menerima pengesahan daripada ibu saudaranya, Loqman maut pada kejadian terbabit.

“Saya ada minta dia ambil gambar cantik-cantik. Saya amat berharap dia masih hidup bila tahu ada gempa bumi di gunung tu. Tapi sebelum Zohor kami dapat tahu abang long dah tiada,” katanya tidak dapat menahan sebak.

Katanya, Allahyarham seorang yang sangat penyayang dan sentiasa berlemah-lembut.

Allahyarham pernah memberikan sepuluh nasihat kepadanya semasa hendak memasuki asrama di Kolej Vokasional Jasin, awal tahun lalu menerusi aplikasi WhatsApp.

“Nasihat kesepuluh itu memang saya sebak sangat kerana dia berkata, dia bukan abang yang terbaik di dalam dunia ini tetapi minta saya jaga solat, bergaul dengan rakan-rakan taat agama, jujur dan berdisiplin,” katanya.

Aktif kerja kebajikan

Allahyarham Loqman Abd Karim, 22, iaitu pelajar tahun akhir di Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa di Lembah Pantai dikatakan seorang yang aktif menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan.

Menerusi laman sosial Facebook milik Siti Sariyah Kamis memberitahu, beliau amat mengagumi Loqman yang berjaya mengubah perspektif hidupnya mengenai kebajikan.

Sebelum ini, beliau menganggap kebajikan dan kebaikan hanya berkisar dengan senyuman, sedekah dan berbuat baik tanpa terfikir untuk berkongsi kasih sayang bersama anak-anak yatim secara dekat.

“Loqman Karim lah yang mengajak aku bantu anak-anak yatim dan miskin, untuk sama mengajar dan berkongsi kasih sayang dengan anak-anak.

“Bantu mereka buat kerja sekolah, hadiahkan mereka sedikit makanan biasa-biasa yang kita makan di zaman kecil kita.

“Dia juga insan pertama yang mengajak aku untuk bantu anak-anak kelas pemulihan di Sekolah Kebangsaan Bangsar, bantu membaca dan jadi teman berbual,” katanya.

Sariyah berkata, dia bersama Allahyarham turun membantu gelandangan, membeli-belah untuk golongan itu dan mengedarkan sumbangan sewaktu mereka sedang nyenyak tidur di kaki lima atau beratur semasa mendapatkan makanan.

Difahamkan, Allahyarham sejak tahun 2013 menguruskan kelas bimbingan tiga kali seminggu untuk bagi murid-murid bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah di SK Bangsar.

Anak-anak murid berkenaan kebanyakannya melibatkan golongan setinggan, rumah pangsa di sekitar Kerinchi, Bangsar dan Pantai Dalam.

“Dia tahu agaknya hidupnya singkat, lalu dia sering menyertai aktiviti luar kampus para gelandangan, mengajar tuisyen, mengendalikan program bagi mahasiswa di tempat pengajiannya, menghadiri dialog dan wacana dicelah kesibukannya.

“Setiap kali cuti, beliau akan keluar mengembara dan mutakhir ini kian bersemangat mendaki gunung sehingga kemuncaknya ialah di Gunung Kinabalu,” tulis Sariyah.


Menerusi akaun milik Usamah Muein turut berkongsi mengenai kebaikan Loqman yang sifatkan seorang rakan sangat baik.

“Tak lama aku mengenali beliau, tapi tak pernah sekali pun sepanjang perkenalan kami, beliau gagal menjadi seorang kawan yang sangat baik dan ramah.


“ALLAH sudah lama tetapkan yang ajal beliau berakhir di tempat yang tinggi di atas Gunung Kinabalu. Semoga rohnya juga diangkat ke tempat tertinggi di Jannah al-Firdausi,” katanya.

Allahyarham dijangka tiba jam 9 malam ini di Melaka untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Chinchin.

0 comments:

share2