Kuala Lumpur – Rakyat di negara ini tidak boleh hanya bergantung kepada simpanan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sahaja bagi menjalani kehidupan selepas bersara pada umur 55 tahun.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, pencarum perlu memikirkan inisiatif lain dengan membuat simpanan atau pelaburan sendiri di luar daripada KWSP.
Ini kerana menurut beliau, sehingga akhir tahun lalu, kira-kira 23 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan pencarum yang mencapai kuantum simpanan asas pada usia 54 tahun iaitu sebanyak RM197,000 dan ke atas.
“Trend ini membimbangkan, jika berdasarkan purata umur rakyat Malaysia 75 tahun, mereka hanya mampu berbelanja kira-kira RM820 sebulan untuk tempoh 20 tahun selepas bersara.
“Itu pun jika mereka berdisiplin menguruskan wang yang dikeluarkan daripada KWSP. Bayangkan pula simpanan mereka yang tidak mencapai RM50,000 pun apabila tiba umur 54 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang meja bulat bersama media sempena Persidangan Antarabangsa Keselamatan Sosial 2015.
Yang turut hadir Ketua Penasihat dan Penyelesaian Pencen Global J.P. Morgan, Anthony S. Gould dan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Penasihat Kewangan Australia, Robert Brown.
Menurut Tunku Alizakri, masyarakat perlu mula menabung dari sekarang dan bagi mendidik masyarakat mengenainya, KWSP merancang beberapa kempen celik kewangan khususnya kepada golongan belia.
“Selain itu, kita sedang menunggu Jawatankuasa Bertindak Keselamatan Sosial Kebangsaan yang akan ditubuhkan oleh kerajaan membuat kajian secara menyeluruh mengenai isu keselamatan sosial di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Robert ketika berkongsi pengalaman di Australia berkata, negaranya juga mengambil inisiatif mendidik rakyat supaya menguruskan simpanan persaraan dengan baik dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan selain menyedarkan mereka tentang keburukan menghabiskan simpanan persaraan secara sekaligus.
0 comments:
Post a Comment