Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 6, 2015

CUBA SELUDUP GANJA KE PENJARA KAJANG



Semenyih - Cubaan seorang lelaki menyeludup dadah jenis ganja masuk ke Penjara Kajang gagal apabila ditahan polis di hadapan sebuah bank di Jalan Tun Abdul Aziz, Kajang Khamis lepas.

Ketika ditahan kira-kira 4.45 petang, pihak polis daerah Kajang menemui beberapa bungkusan kecil ganja yang disembunyikan di dalam sekotak air minuman 250 mililiter di bawah tempat duduk motosikal suspek. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek berusia 27 tahun itu dipercayai diupah untuk menyeludup dadah ke Penjara Kajang melalui banduan yang melaporkan sakit di hospital.

"Ganja-ganja kecil ini, seterusnya akan ditelan banduan di hospital atau memasukkannya ke dalam dubur sebelum dikeluarkan melalui cara sama di dalam penjara nanti," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ab Rashid berkata, berat keseluruhan dadah ialah 455.14 gram dengan nilai kira-kira RM1,800.

Beliau berkata suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes kecurian, dan kini ditahan reman tujuh hari serta kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

"Maklumat awal dari suspek, bekalannya diperoleh daripada seorang lelaki di Sungai Besi, Kuala Lumpur," katanya menambah bahawa suspek bergerak aktif sejak dua tahun lepas. 

Sementara itu, dalam kes berlainan, Ab Rashid berkata, sejumlah 916.23 gram syabu dianggarkan bernilai RM150,000 dirampas daripada seorang lelaki dalam satuserbuan di sebuah hotel, di Balakong, dekat sini Jumaat lepas. 

Beliau berkata ketika serbuan pada 6.15 pagi suspek yang berusia 35 tahun itu berada di lobi hotel dan kemudian membawa polis ke keretanya di parkir dihadapan hotel.

"Hasil pemeriksaan rekod lampau, suspek mempunyai satu rekod jenayah di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya menambah bahawa lelaki itu juga didapati positif dadah. 

Suspek kini ditahan reman tujuh hari. "Bekalan dipercayai diperoleh dari Johor dan suspek turut dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah yang menggunakan kenderaan sebagai medium penghantaran," katanya.

0 comments:

share2