Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 12, 2015

TIADA SEBAB PERLU TUKAR PRESIDEN


Nasrudin Hassan


Shah Alam - Tidak ada sebab dan alasan kukuh bagi membolehkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang digantikan, kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan.

Menurutnya, pencapaian dan prestasi Abdul Hadi pada masa ini masih berada pada tahap terbaik.

“Apabila nak menukar atau ubah mesti ada asasnya selain perlu ke arah yang lebih baik. Kedudukan prestasi Abdul Hadi pada hari ini adalah yang terbaik. Maka tidak ada sebab beliau mahu ditukar atau diubah. Sementara masih berkemampuan, biarlah Abdul Hadi pimpin parti,” katanya, semalam.

Menurutnya, ahli Pas dan seluruh masyarakat boleh mengambil manfaat daripada sifat kepimpinan yang ada pada Presiden Pas itu.

“Saya menghormati hak demokrasi pihak lain dan siapa sahaja dalam parti. Tetapi kita mesti berpijak di alam realiti. Kita kena buat kajian dan tengok faktor yang mendesak (untuk ubah presiden) sebelum buat sebarang keputusan.

“Beliau yang terbaik setakat yang ada hari ini, yang ditakdirkan kepada Pas dan memang sukar kita nak cari tokoh yang lebih baik daripada beliau,” katanya.

Beliau turut menyifatkan penyebaran berita mengatakan Abdul Hadi yang dikatakan lemah dalam kepimpinan di laman sosial oleh sesetengah pihak sebagai berniat jahat.

“Itu hanyalah satu serangan siber yang saya kira hanya untuk melunaskan hasrat segelintir pihak tertentu yang tidak suka dengan presiden.

“Kita tidak mampu nak beri kepuasan kepada semua orang. Akan sentiasa ada orang tak puas hati dan memusuhi. Tetapi majoriti masih selesa, gembira dan masih berharap presiden kekal untuk pimpin parti pada masa akan datang,” katanya.

0 comments:

share2