Kuching - Pasukan Tindakan Hidupan Liar (SWAT) Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) berjaya merampas lebih 280 biji telur penyu dan kira-kira 15 kilogram daging hidupan liar (ular sawa dan labi-labi) semasa pemeriksaan penguatkuasaan di pasar Serian, Bau dan Serikin pada hujung minggu lepas.
Seorang suspek telah ditahan di Bau untuk siasatan lanjut manakala suspek-suspek lain berjaya melarikan diri semasa serbuan dibuat, menurut kata satu kenyataan daripada pejabat ketua pegawai eksekutif SFC di sini, semalam.
Kesemua kes telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan selanjutnya, "Walaupun kami masih di peringkat yang tinggi memerangi pembalakan haram, kami juga bertindak membanteras aktiviti yang mengancam hidupan liar yang dilindungi,” tambah kenyataan berkenaan.
Katanya, mereka yang didapati bersalah melanggar Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998 boleh dihukum denda sehingga RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.
Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk perdagangan hidupan liar dan pembalakan haram di kawasan mereka menerusi talian 019 8859996 (Kuching), 019-8290994 (Miri), 019-8266096 (Bintulu) dan 019-8290992 (Sibu).
0 comments:
Post a Comment