Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 19, 2015

SEKTOR PENERBANGAN ASEAN MEMPUNYAI PROSPEK LUAS


Sektor penerbangan Asean mempunyai prospek luas


Syarikat penerbangan di negara-negara Asean dijangka mencatat pertumbuhan yang pesat pada dekad akan datang berikutan akan menerima serahan kira-kira 3,000 pesawat komersil baharu bernilai US$500 bilion menjelang 2032.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sektor penerbangan komersil di Asean mempunyai prospek yang luas untuk pertumbuhan dan kemajuan dijangka dipacu oleh peningkatan permintaan untuk perjalanan udara serta pembangunan ekonomi dan perdagangan yang meningkat di rantau ini.

Beliau berkata, penubuhan Pasaran Penerbangan Tunggal Asean (ASAM) merupakan komponen utama pelan tindakan untuk penubuhan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) pada tahun ini.

"Kerajaan Asean mengiktiraf kepentingan pengangkutan udara untuk pembangunan ekonomi dan menetapkan industri tersebut sebagai satu daripada 12 bidang keutamaan dalam penubuhan AEC," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Penerbangan Asean sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA'15) di sini semalam.

Tiong Lai yakin liberalisasi sektor penerbangan Asean akan menjadi pemangkin utama bagi pertumbuhan ekonomi rantau ini menjelang 2030.

Beliau berkata ketibaan pengunjung luar ke Asean memberangsangkan sejak beberapa tahun ini, dengan sejumlah 97.2 juta orang mengunjungi 10 negara-negara anggota pada tahun lepas. 

"Bagaimanapun, sektor penerbangan Asean yang berkembang pesat tidak boleh tanpa pengukuhan dan peningkatan dari segi langkah-langkah keselamatan," katanya. 

Beliau berkata, pertumbuhan harus seiring dengan tanggungjawab dan perlu mematuhi dan meningkatkan piawaian keselamatan.

"Belajar daripada insiden MH370, saya telah mengemukakan cadangan kepada majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk mewujudkan keperluan pengesanan global masa nyata bagi pesawat komersil dan melanjutkan jangka hayat transmisi pengesan dalam air," katanya.

Beliau berkata, ICAO akan menyatakan cadangan mereka untuk pengesanan global masa nyata pada 31 Ogos tahun ini.

0 comments:

share2