Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 18, 2015

PERNAH DIPIJAK ORANG RAMAI


Pernah dipijak orang ramai


Pernah dipijak ketika bersesak-sesak menaiki bas merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan seorang orang kurang upaya (OKU) di Kampung Haji Ibrahim, dekat sini.

Biarpun dilahirkan dengan hanya sembilan jari tangan, tiga jari kaki dan kudung kaki kanan sejak lahir, Ismail Mohamad, 52, tetap cekal melakukan pelbagai kerja bagi menampung hidup.

Menurutnya, sebaik mendapat tahu OKU diberikan hak dan peluang bekerja di ibu kota, dia mula membawa diri pada akhir 1970-an.

"Nasib saya cukup baik apabila pihak pengurusan syarikat cenderamata di Selangor ketika itu meminta saya berdaftar dengan persatuan OKU supaya mendapat lebih banyak manfaat.

"Setelah berdaftar sebagai ahli Persatuan Orang Cacat Anggota Malaysia (Pocam) dengan yuran tahunan RM2 pada 1980-an, saya ditawarkan pula memiliki kaki palsu," katanya.

Katanya, pelbagai halangan diterima sepanjang pembedahan dan pemasangan kaki palsu termasuk keluarga yang tidak memberi kebenaran.

“Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar kerana saya dijaga di rumah persatuan, diajar cara-cara berjalan sehinggalah diberi kursus kemahiran membaiki jam sepanjang tiga tahun di bawah penjagaan sehingga sembuh sepenuhnya,” katanya.

Setelah tiga tahun tidak pulang ke kampung halaman, Ismail akhirnya pulang bersama kaki palsunya sekali gus memadam persepsi negatif keluarga apabila melihatnya mampu berdiri. 

"Sejak itu saya berazam mengubah persepsi orang ramai terhadap nasib OKU apabila mula mendapat kepercayaan majikan dan bekerja di sebuah kilang elektronik di Bakar Arang, Sungai Petani hampir 10 tahun," katanya.

Pada 1992, Ismail berkahwin dengan Salamah Sulaiman juga berstatus OKU (fizikal) yang bekerja di kilang sama dan dikurniakan tiga anak.

Kini, Ismail yang mempunyai motosikal roda tiga hasil bantuan kerajaan berjaya membuktikan walaupun bergelar OKU, dia juga mampu cemerlang setanding insan normal lain.

Bagi menyara keluarga, anak sulungnya, Mohd Ikmal, 22, turut bekerja bersama isterinya di sebuah kantin manakala anak kedua, Mohd Irfan, 18, bekerja sambilan di gerai roti canai sementara menunggu peluang sambung belajar.

Selepas berhenti kerja katanya, dia mengambil upah membaiki kasut, jam dan mencari barangan terpakai untuk dijual.

"Kadangkala saya juga ambil tempahan umpan untuk kaki pancing. Saya cari umpan menggunakan bot bantuan yang diterima sebelum ini.

"Saya juga ada ambil upah memindahkan barangan perabot guna motosikal roda tiga milik saya," katanya.

0 comments:

share2