Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 18, 2015

PANTAI LAGENDA TAK SEGAH NAMA


Pantai Lagenda tak segah nama


Pekan – Jika dahulu ramai yang merungut mengenai ketiadaan kemudahan asas di Pantai Lagenda, di sini, namun keadaan berubah apabila semuanya disediakan, ia disia-siakan pengunjung pula.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, keadaan pantai semakin kotor dan kemudahan yang disediakan turut dicemari dengan sikap pengotor pengunjung yang enggan menjaga kebersihan bersama.

Pengunjung, Noorlaila Muda, 40, berkata, kehadiran dia bersama keluarga di pantai ini agak mengecewakan apabila melihat kawasan sekitarnya kotor malah menyakitkan mata memandang.

“Keindahan alam ciptaan ALLAH SWT dicemari oleh tangan manusia yang membuang sampah merata-rata dan merosakkan kelestarian kawasan ini.

“Jika hanya satu atau dua orang berusaha menjaga kebersihan kawasan ini, tidak mungkin keindahannya dapat dikekalkan, malah suatu hari nanti ia akan terbiar begitu sahaja," katanya.

Menurutnya, ibu bapa atau orang dewasa yang datang ke kawasan ini seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak agar mereka turut sama menghargai dan menjaga kebersihan alam sekitar.


Orang ramai tak bertanggungjawab

Seorang lagi pengunjung, Norazmi Ellias, 35, berkata, sikap orang ramai yang sambil lewa menjaga kebersihan tempat awam perlu diberi perhatian.

“Bekas makanan dan minuman, malah sisa-sia dapat dilihat bertaburan di atas tempat duduk di astaka atau pondok yang dibina PBT bagi memudahkan pengunjung berehat.

“Memang sedih lihat sikap orang ramai yang tidak mengambil berat hal kebersihan apatah lagi mendidik ahli keluarga, jiran tetangga mahupun kenalan untuk bersama-sama membuang sampah di tempat sewajarnya,” katanya.

Baginya, kempen mahupun usaha pembersihan yang dilakukan pihak pentadbiran daerah tidak mampu menjadikan kawasan ini bersih dan menarik jika pengunjung sendiri tidak memainkan peranan sebagai anggota masyarakat bertanggungjawab.


PBT sudah berusaha

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Pekan (MDP), Datuk Ahmad Salhi Abdul Latiff berkata, isu sampah dan kebersihan di kawasan pantai memerlukan kerjasama orang ramai.

Menurutnya, kemudahan yang menelan kos besar ini disediakan bagi memastikan kawasan indah pantai ini dapat digunakan sebaik mungkin.

“Saya lihat isu ini berbalik kepada sikap pengunjung sendiri yang sewenang-wenangnya membuang sampah merata-rata malah merosakkan kemudahan yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“PBT berusaha menyediakan kemudahan kepada orang ramai namun keadaan semasa menunjukkan kelemahan sikap dan mentaliti mereka yang tidak pandai menghargainya,” katanya.


MDP tidak putus asa

Beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha mendekati masyarakat melalui gotong-royong melibatkan komuniti setempat, pihak luar, selain petugas sendiri.

“Begitu banyak usaha dijalankan bagi menggalakkan masyarakat bersama-sama mengutamakan kebersihan persekitaran kawasan rekreasi, tempat tinggal serta persekitaran bandar dan daerah ini.

“Kemudahan seperti tong sampah yang disediakan bagi kegunaan orang ramai juga kurang dimanfaatkan, sebaliknya orang ramai sesuka hati membuang sampah di merata tempat,” katanya.

Beliau berharap masyarakat memiliki lebih rasa tanggungjawab untuk menjaga kebersihan malah MDP juga akan melakukan siasatan dan tindakan ke atas sebarang aduan serta komen daripada orang ramai mengenai.

0 comments:

share2