Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 19, 2015

LIMA BOT NELAYAN TEMPATAN KELAS A DITAHAN


Georgetown - Lima bot nelayan tempatan kelas A ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 2 Pulau Pinang setelah didapati menggunakan khidmat 11 pekerja asing tanpa permit di perairan Kuala Muda, dekat sini semalam.

Ketua Penguatkuasanya Laksamana Pertama Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, dalam operasi pukul 12.45 tengah hari itu mereka yang ditahan terdiri daripada lapan rakyat Myanmar dan tiga Thailand didapati telah melanggar syarat lesen perikanan di bawah Akta Perikanan 1985.

"Ketika pemeriksaan dijalankan terdapat tekong bertindak menyembunyikan pekerja asing terbabit di dalam tong ikan namun kesemua mereka dapat diberkas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati sebahagian daripada pekerja asing yang berusia antara 16 dan 72 tahun itu memegang kad pelarian UNCHR selain ada yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata, pihaknya bertindak berdasarkan aduan daripada ahli persatuan nelayan di kawasan Seberang Perai Utara dan menasihati pengusaha bot nelayan tempatan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Kamaruszaman berkata, 14 nelayan tempatan turut ditahan untuk membantu siasatan dan sejumlah 788 kilogram hasil tangkapan bersama lima bot terbabit dibawa ke jeti Kota Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

0 comments:

share2