Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 13, 2015

KUANTAN : 3 MENARA PEMANCAR TELEKOMUNIKASI HARAM DIROBOH

Tiga menara pemancar telekomunikasi haram diroboh


Tiga menara pemancar telekomunikasi haram di daerah ini dirobohkan Majlis Pembandaran Kuantan (MPK) dalam satu operasi, semalam.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Nurul Sulaiman berkata pihaknya terpaksa merobohkan struktur menara pemancar telekomunikasi di tiga lokasi iaitu Jalan Bukit Setongkol 4, Taman Impianku, Jalan Sungai Lembing dan Seri Inderapura kerana tiada kelulusan bertulis daripada pihaknya.

“MPK telah mengeluarkan tiga notis di kesemua kawasan yang terlibat pada 24 November 2014 selepas tiga tahun beroperasi.

“Namun sehingga hari ini tiada sebarang maklum balas berhubung perkara ini daripada pihak berkenaan dan MPK mengambil inisiatif untuk merobohkan struktur menara ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata langkah ini perlu diambil MPK demi memastikan keselamatan orang awam terjamin di samping mencegah berlakunya sebarang kemalangan yang lebih teruk pada masa akan datang.

Katanya, pemilik menara itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 72 (1) Akta Jalan, Parit dan bangunan (Akta 33) iaitu mendirikan satu unit struktur keluli telekomunikasi, binaan konkrit dan kerja berkaitan elektrik tanpa mendapat kelulus bertulis terlebih dahulu daripada pihaknya.

Sebelum itu, Nurul memberitahu pembinaan tiga menara telekomunikasi ini tidak mendapat kelulusan terutamanya tapak perancangan terlebih dahulu bagi dibina di kawasan tersebut.

“Kita bimbang kerana struktur enara terbabit berada di dalam kawasan tumpuan orang awam iaitu terdapat gelanggang futsal dan ini membolehkan struktur tersebut senang di akses orang awam terutamanya kanak-kanak.

“Malah pembinaan menara itu tidak berada sepenuhnya dalam kawasan berpagar dan dikhuatiri boleh mengundang bahaya kepada masyarakat yang berada di situ,” katanya.

Jelasnya, pembinaan menara itu telah menyebabkan beberapa keperluan seperti kawasan letak kenderaan bagi kegunaan dewan orang ramai semakin berkurangan.

Selain itu, Nurul berkata struktur menara yang dibina pula didapati tiada langkah penyelenggaraan yang sepenuhnya oleh pemilik.

“MPK bimbang kecuaian ini boleh mengundang kemalangan membabitkan orang awam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Bangunan MPK, Norkamawati Kamal, selaku ketua operasi memberitahu kos operasi merobohkan menara telekomunikasi ini dianggarkan berjumlah RM30,000.

Katanya ini merupakan anggaran kasar memandangkan terdapat beberapa kelengkapan seperti jentera terpaksa disewa.



0 comments:

share2