KUALA LUMPUR - Langkah Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengurangkan tarif elektrik selaras dengan aspirasi kerajaan dan mengikut kadar antarabangsa, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mustapa memuji langkah TNB menurunkan tarif elektrik itu dengan menyatakan ia akan mengurangkan kos menjalankan perniagaan.
TNB hari ini mengumumkan penurunan tarif elektrik sebanyak 2.25 sen/per jam kilowatt (kWj) atau 5.8 peratus, dari 1 Mac hingga 30 Jun 2015.
Menurut TNB, tarif puratanya akan dikurangkan daripada 38.53 sen/kWj kepada 36.28 sen/kWj.
TNB juga mengumumkan bagi Sabah dan Labuan, tarif akan dikurangkan sebanyak 1.20 sen/kWj (turun 3.5 peratus) dan tarif purata akan dikurangkan daripada 34.52 sen/kWj kepada 33.32 sen/kWj.
"Walaupun pengurangan itu tidak besar, ia sudah pastinya disambut baik oleh komuniti perniagaan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pejabat baharu Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI), di sini, hari ini.
Mustapa berkata bagi perniagaan yang terjejas akibat penurunan nilai ringgit, pengurangan tarif tenaga sedikit sebanyak akan meneutralkan kerugian.
Beliau juga berkata pengurangan tarif itu bertepatan dengan mekanisme apungan terurus kerajaan di mana di bawahnya harga runcit bagi petrol dan diesel berdasarkan kepada purata harga minyak mentah bulanan dunia, dan memberikan petanda baik bagi komuniti perniagaan yang terdiri bukan sahaja daripada pengeluar tetapi juga perniagaan berorientasikan perkhidmatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Mustapa berkata terdapat lebih 2,000 syarikat berpangkalan di EU di negara ini yang merupakan rakan dagangan kedua terbesar EU di Asean. - Bernama
0 comments:
Post a Comment