Kuala Lumpur - Seorang penjual kuih warga Myanmar nyaris maut apabila seorang lelaki melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa yang sedang berniaga di kaki lima sebuah kedai di Pusat Utara, Jalan Ipoh di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata ketika kejadian wanita berusia 27 tahun itu didatangi secara tiba-tiba oleh seorang lelaki yang juga warganegara Myanmar.
Zainuddin berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu suspek yang dikenali Nur Muhamad bertindak memecah barang perniagaan milik mangsa dengan menggunakan parang.
Beliau berkata mangsa yang ketakutan melarikan diri ke seberang jalan dan bersembunyi di belakang tiang sebuah kedai Golden Circle Enterprise Sdn Bhd.
"Suspek tersebut mengejar mangsa dengan kereta jenis Proton Perdana berwarna putih dan keluar dari kereta sebelum melepaskan dua tembakan ke arah mangsa namun tidak kena," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.
0 comments:
Post a Comment