Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 18, 2015

PEKAN: 'PEMIMPIN KECIL PIKUL AMANAH BESAR'


'Pemimpin kecil pikul amanah besar'


Setiap pelajar yang dilantik untuk menjadi pemimpin bermula di peringkat sekolah memikul amanah yang besar dan secara tidak langsung membentuk disiplin juga jati diri.

Adun Pulau Manis, Datuk Khairudin Mahmud berkata, amanah tersebut perlu ditunaikan sebaik mungkin oleh pelajar yang dilantik sebagai pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, ketua kelas serta ahli jawatankuasa pelbagai badan, persatuan dan kelab.

Menurutnya, kumpulan pelajar yang dilantik merupakan satu kelompok pemimpin kecil yang menonjolkan bakat dan potensi diri melalui disiplin yang baik serta kecemerlangan yang dicatatkan di dalam pelajaran.

“Peranan pelajar yang dilantik sebagai pemimpin di sekolah amat penting kerana golongan ini yang bertindak membantu serta menyokong kerja-kerja pengurusan sekolah.

“Majlis pelantikan yang diadakan di sekolah adalah satu cara untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan pihak sekolah terhadap sumbangan khidmat para pemimpin kecil yang terlibat,” katanya ketika merasmikan Majlis Watikah Pelantikan Ketua dan Pemimpin Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Kilau di sini.

Beliau berkata, pelajar lain turut diberi penerangan mengenai kepentingan peranan pemimpin yang ada di sekolah selain memupuk rasa hormat terhadap golongan ini yang juga di kalangan rakan mereka sendiri.

“Rasa hormat tersebut adalah berkaitan tugas yang dijalankan oleh pemimpin berlandaskan undang-undang sekolah yang ditetapkan sekali gus membantu mengawal masalah salah laku pelajar.

“Pemimpin yang dilantik juga bertindak untuk membimbing rakan mereka mengamalkan nilai positif dalam kehidupan seharian sama ada di sekolah atau di luar sekali gus mendidik mereka menjadi individu yang bertanggungjawab terhadap diri dan pelajaran mereka,” katanya.

Menurutnya, kawalan yang wujud di kalangan pelajar sendiri dapat merealisasikan hasrat sekolah menghapuskan masalah sosial dan mendidik mereka mematuhi undang-undang bagi memastikan kehidupan yang dilalui lebih sempurna dan tidak menghadapi masalah serta kegagalan pada masa akan datang.

0 comments:

share2