Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 21, 2015

MAHFUZ: HADI BOLEH GANTI ANWAR


 Mahfuz Omar


Kuala Lumpur - Pas tidak melihat sebarang masalah atau wujudnya halangan besar jika Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dicalonkan menjadi ketua pembangkang.

Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, Pas juga berlapang dada untuk menerima mana-mana pemimpin tertinggi PR untuk mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Bagaimanapun ujar Mahfuz, calon bagi jawatan penting untuk mewakili ahli parlimen pembangkang di Dewan Rakyat itu mestilah dipersetujui oleh semua rakan sekutunya dalam PR.

"Kalau semua boleh terima tiada masalah, bagi saya siapa pun (calon), Pas boleh bersetuju untuk jadi ketua pembangkang," katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Jawatan ketua pembangkang kosong selepas Anwar dijatuhi hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lalu.

Jawatan nombor satu dalam PR itu kini menjadi rebutan malah nama Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut disebut-sebut sebagai pengganti Anwar.

Sementara itu, ketika ditanya tentang kekosongan jawatan mursyidul am Pas selepas kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau berkata perkara tersebut hanya boleh diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas.

"Itu terserah kepada ahli majlis syura, saya tidak boleh mencampuri urusan pemilihan jawatan itu, ahli majlis syura sendiri akan menentukan siapa yang akan ambil alih jawatan itu," katanya lagi.

0 comments:

share2