Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 24, 2015

KUANTAN: MPK KURANGKAN SEWA PENIAGA


MPK kurangkan sewa peniaga


Berkuatkuasa awal Januari lalu, sewa bulanan bagi peniaga gerai di Terminal Sentral Kuantan (TSK) dikurangkan sebanyak RM500 oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, kadar sewa daripada RM3,000 kepada RM2,500 di gerai makan di tingkat atas dan RM1,500 daripada RM2,000 untuk gerai pelbagai jualan di tingkat bawah.

Menurutnya, pengurangan kadar sewaan tersebut dibuat selepas menilai semua permohonan serta rayuan peniaga selepas terlibat dengan bencana banjir pada tahun 2013 lalu.

“Sewa yang dikenakan MPK sebelum ini masih lagi rendah jika dibandingkan dengan tempat lain. Selepas pengurangan RM500 ini, saya harap semua peniaga dapat meningkatkan perniagaan masing-masing sekali gus menaikkan imej TSK.

“Selepas setahun setengah beroperasi, saya lihat pelbagai peningkatan yang berlaku di sini,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan, selama tempoh beroperasi, TSK telah mencatatkan bilangan pengunjung seramai 3.4 juta orang dan berharap agar bilangan itu terus meningkat bagi memastikan kecenderungan orang ramai memilih perkhidmatan pengangkutan awam di sini.

Zulkifli berkata, selepas kejadian banjir 2013 lalu, banyak kerosakan yang dialami di TSK ini, bagaimanapun, MPK mampu menangani masalah tersebut dan dapat membaiki kerosakan yang ada dalam tempoh yang singkat.

“Saya berharap agar 20 gerai di TSK ini mampu meningkatkan mutu perniagaan masing-masing seiring dengan pengurangan sewa bulanan tersebut.

“MPK telah melakukan pelbagai cara termasuk membaiki kerosakan akibat banjir dan kesannya dapat dirasai hingga kini apabila TSK bukan lagi lokasi banjir di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, pekerja kedai makan, Mohd Saddan Khan,23 berkata, pengurangan kadar sewa tersebut sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada perniagaan nasi kukus di TSK ini.

Menurutnya, dengan pengurangan tersebut, mereka lebih banyak meningkatkan usaha untuk memajukan perniagaan.

“Kalau boleh memanglah mahu turun lagi, tetapi lebih baik turun sedikit daripada tidak turun langsung.

“Kami di sini bekerja dengan lebih keras terutamanya pada hari cuti kerana pelanggan lebih ramai kini. Walaupun cuti umum, kami rasa rugi jika tutup perniagaan ini," katanya.

Bagi peniaga gerai pelbagai jualan, Wan, 40an, berkata dia merasakan sewa tersebut masih tinggi jika dibandingkan dengan lokasi perniagaannya sebelum ini.

“Kalau boleh, saya harap jumlah sewa ini diturunkan lagi agar perniagaan kami di sini stabil.

“Walau apa pun, saya masih bersyukur dengan keprihatinan MPK dalam usaha menurunkan kadar sewa di sini,” katanya yang ditemui Sinar Harian di TSK di sini semalam.

0 comments:

share2