Kerajaan negeri bercadang mewujudkan pelan strategik sumber manusia untuk menyelaraskan kursus yang ditawarkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Pahang agar ia sesuai dengan keperluan pasaran kerja masa kini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, pelan induk yang akan diselaraskan Yayasan Pahang itu masih dalam peringkat kajian dan bakal diwujudkan pada tahun ini.
Menurutnya, dalam perubahan ekonomi dan kebolehpasaran kerja pada graduan, pelbagai cabaran dihadapi golongan itu.
“Justeru, kita melihat perlunya satu penyelarasan di peringkat negeri membabitkan IPT yang ada dari aspek kursus yang ditawarkan.
“Kita tidak mahu berlaku pertindihan kursus yang sama antara IPT dan agensi terbabit di negeri ini selain menilai kursus yang diperlukan atau tidak di samping menambah kursus yang menyediakan peluang pekerjaan yang banyak,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC) sesi Julai , di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Eksekutif PSDC, Khairur Rizal Ramli dan Timbalan Pengarah Eksekutif PSDC, A Rahim Omar.
Norol Azali berkata, melalui pelan strategik itu nanti, ia akan menumpukan kepada keperluan untuk mengukuhkan kursus yang ditawarkan di setiap peringkat.
Beliau berkata, Pahang menyasarkan peningkatan 4.6 peratus tenaga kerja baharu di negeri ini dalam pelbagai bidang termasuk kemahiran.
“Oleh itu, setiap IPT yang ada harus kreatif dan mempunyai pendekatan terbaik dalam menawarkan kursus yang bersesuaian,” katanya.
Pada majlis itu, Norol Azali menyampaikan anugerah cemerlang kepada 52 pelajar yang mencapai keputusan cemerlang pada sesi Julai tahun lalu.
Sumber
0 comments:
Post a Comment