Aktiviti pertanian yang diusahakan penduduk setempat berdekatan Loji Air Sungai Jempol tidak menjejaskan kualiti air di loji berkenaan.
Adun Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, bagaimanapun, pemantauan secara berterusan akan dilakukan Pengurusan Air Pahang (Paip) bagi memastikan kualiti air menepati piawaian ditetapkan.
Menurutnya, penyaluran air bersih ke kediaman penduduk juga melalui proses ujian berkala agar pengguna menerima air berkualiti dan terjamin untuk kesihatan.
“Aktiviti pertanian yang berada berdekatan dijalankan dalam keadaan terkawal dan penggunaan baja adalah mengikut tahap dibenarkan sekali gus tidak memberi kesan kepada air sungai.
“Pengguna boleh membuat laporan kepada pihak Paip atau Jabatan Alam Sekitar (JAS) sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung dakwaan wujud pencemaran sungai.
“Setakat ini, tiada apa yang perlu dibimbangi kerana rawatan air di loji melalui beberapa proses ketat bagi menjamin pengguna menerima air bersih dan selamat untuk diminum,” katanya ketika meninjau pemantauan kualiti air di loji berkenaan, di sini.
Pemantauan tersebut turut disertai kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), JAS, Paip, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pejabat Kesihatan dan Badan Kawal Selia Air.
Shahaniza berkata, loji tersebut menerima beberapa peruntukan naik taraf termasuk dari Pejabat Perdana Menteri sebanyak RM4 juta untuk muka sauk baru dan siap dilaksanakan.
Menurutnya, ia membekalkan air bersih kepada penduduk Sungai Jerik, Kamung Jara, Kuala Sentul, Felda Ulu Jempul dan Felda Jengka 2.
“Saya juga menasihatkan petani berdekatan sumber air mengutamakan kebersihan agar tidak melakukan sebarang pencemaran sungai atau akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Sumber
0 comments:
Post a Comment