Rembau – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Jalan Bongek-Pulau Mampat, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.40 tengahari itu, mangsa, Mohd Suhaimi Sahhar, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.
Menurut penduduk, Mohd Zulkifli Puteh Mohd Nor, 52, dia terkejut apabila melihat seorang lelaki dalam keadaan terlungkup di atas jalan raya dan menyangka mangsa pengsan.
"Saya dalam perjalanan ke rumah emak di Legong Ulu dan terkejut bila lihat ada orang terlungkup atas jalan. Lantas saya panggil anak buah untuk melihat keadaan mangsa.
“Bila anak buah saya periksa, rupa-rupanya mangsa sudah meninggal dunia dan di lokasi kejadian hanya terdapat motosikal mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, bapa mangsa, Sahhar Kawil, 60, dia dan isteri, Zaiton Aziz, 60, segera ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan mengenai insiden menimpa anaknya itu.
Menurut Sahhar, kali terakhir dia bertemu anaknya pada malam sebelum kejadian dan mereka berbual-bual seperti biasa.
“Pada pagi kejadian saya tidak sempat bertemunya kerana pergi ke Klinik Kesihatan Astana Raja dan sebaik pulang saya bertanya pada isteri di mana Suhaimi. Bagaimanapun emaknya memberitahu Suhaimi keluar bagi membantu bapa saudaranya," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif berkata, motosikal mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan lain.
"Namun sehingga petang ini (semalam), kenderaan terbabit belum membuat laporan polis," katanya.
0 comments:
Post a Comment