Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 9, 2015

CHENOR : HAIWAN TERNAKAN JUGA MATI KESAN BENCANA BANJIR

Bangkai haiwan ternakan yang mati akibat terperangkap dalam banjir selepas semua kawasan di Seberang Chenor ditenggelami air selama 12 hari.


Penternak lembu dan kerbau di kawasan Seberang Chenor menanggung kerugian ratusan ribu ringgit apabila haiwan ternakan mereka mati akibat banjir.

Bangkai haiwan tersebut bergelimpangan di merata tempat dengan bau busuk dan dipercayai mati kerana terlalu lama di dalam air banjir serta kebuluran.

Seorang penternak di Kampung Telok Melati, Kamarulzaman Umar, 53, berkata, penduduk di Chenor kebanyakan mempunyai haiwan ternakan memandangkan ia satu sumber pendapatan yang diwarisi sejak dahulu lagi.

Menurutnya, paras Sungai Pahang melepasi banjir 2007 menenggelamkan semua kawasan kampung yang terletak berdekatan sungai itu.

“Tiada tempat tinggi untuk haiwan ternakan ini pergi dan terpaksa bertahan dalam banjir yang akhirnya mati kerana kembung atau lapar. Enam lembu saya juga mati tersangkut di dalam semak. Hal yang sama ini juga berlaku kepada penternak lain,” katanya.

Penternak di Kampung Kandis, Yahya Yaacob, 64, berkata, air Sungai Pahang melimpah dan memasuki kawasan kediaman dengan arus deras menyebabkan penternak tidak sempat memindahkan haiwan ternakan ke tempat selamat.

Menurutnya, penternak perlu mengutamakan keselamatan diri dan keluarga sehingga terpaksa meninggalkan haiwan ternakan dengan harapan ia dapat menempuh banjir dengan sendiri.

“Namun, selepas banjir surut, banyak yang mati dan banyak lagi yang gagal ditemui,” katanya.




0 comments:

share2