Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 9, 2015

ATM SEDIA BANTU PULIHKAN INFRASTRUKTUR ROSAK AKIBAT BANJIR DI KELANTAN



GUA MUSANG, 9 Jan - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan digerakkan untuk membantu memulihkan semula infrastruktur awam yang rosak akibat banjir di Kelantan.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata kementeriannya sedang menunggu maklumat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai infrastruktur yang perlu dipulihkan dengan bantuan ATM.

"Kami bersedia menggerakkan aset ketenteraan bagi membantu kerajaan memulihkan infrastruktur seperti jambatan yang rosak akibat banjir," katanya kepada pemberita selepas melawat Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di sini, Jumaat.

Abdul Rahim berkata ini termasuklah membantu membina semula jambatan merentasi Sungai Nenggiri yang menghubungkan Kampung Star dan Pulau Setelu yang roboh akibat banjir baru-baru ini.

Beliau berkata pembinaan semula jambatan tersebut untuk kemudahan orang ramai yang menggunakan laluan Gua Musang-Jeli.

Terdahulu beliau melawat Kem PLKN Etnobotani di sini, Kem Cancun Park di Pasir Mas dan Kem Batu Jong di Kuala Krai, yang akan dijadikan pusat penempatan sementara mangsa banjir.




0 comments:

share2