Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 11, 2015

APABILA MENULIS DIHUJUNG USIA - CATATAN BUAT ZAINUDDIN MAIDIN DAN KADIR JASIN



Dua orang pengarang ternama yang saya fikir banyak meninggalkan kesan besar kepada “worldview” saya sebagai penulis ialah Datuk A Kadir Jasin dan Datuk Zainudin Maidin (ZAM). Mereka adalah wartawan dan pengarang yang lengkap.
Satu-satunya pengarang yang mungkin hampir mencapai status yang sama pada zaman keremajaan saya ialah Johan Jaaffar. Namun saya fikir Johan mempunyai gaya penulisan yang menarik tetapi kurang meyakinkan dari segi fakta dan penghujahan. Manakala Datuk Ahmad Nazri Abdullah (bekas Ketua Pengarang Berita Harian) adalah wartawan tanpa bakat kepengarangan.
Membesar dengan akhbar Melayu bernama Berita Harian dan Utusan Malaysia (Berita Minggu dan Mingguan Malaysia) pada era akhir 80-an dan 90-an, saya mengenali dua pengarang ini bukan sahaja kritis tetapi juga rasional dan penuh fakta sebelum mengulas sesuatu isu.
Namun di kala penulis sendiri mencecah usia dewasa, melihat dua pengarang ternama ini membuat satu demi satu kejanggalan pemikiran mereka sehingga setaraf penulis blog politik yang bergantung kepada gosip dan emosi sangat menyedihkan.
Suatu ketika mereka bukan sahaja mempunyai keberanian politik berkata sesuatu, malah artikulasi berhujah secara rasional dan berfakta adalah satu keunggulan penulisan mereka.
Jarang, malah hampir tidak pernah, saya terbaca Awang Selamat atau ZAM, Kadir Jasin atau Kunta Kinte, menulis menyerang susuk tubuh tertentu sehingga menampakkan ia sesuatu yang sangat peribadi atau menulis berdasarkan maklumat dan fakta yang salah atau separuh benar.
Namun kebelakangan ini, mereka melakukan perkara-perkara terbabit secara semberono dan kerap kali fakta atau hujahan mereka dimatikan dengan mudah oleh fakta-fakta yang dikeluarkan kemudiannya.
Saya fikir ini kerana mereka sudah dikelilingi oleh kumpulan-kumpulan yang memberi maklumat secara berkepentingan, bukan lagi sekumpulan manusia jujur seperti mana wartawan-wartawan yang bekerja di bawah mereka. Maka maklumat yang mungkin dianggap eksklusif dan boleh dipercayai itu akhirnya menjadi khabar angin yang merosakkan sahaja.
Terbaru apabila ZAM dan Kadir mempertikaikan kemampuan para pegawai komunikasi Perdana Menteri menjalankan tugas menerangkan kepada umum mengenai keberadaan Perdana Menteri di Hawaii bermain golf bersama Presiden Barrack Obama sebagai satu perkara yang sangat memalukan.
Alangkah baik jika dua pengarang besar ini membantu menjernihkan isu. Sebaliknya mereka memilih untuk mengeruhkan lagi.
Tulis ZAM,
Sewajarnya Unit Komunikasi Jabatan Perdana Menteri telah bertindak tangkas memberi penjelasan untuk membetulkan persepsi negatif ekoran tersebarnya gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib sedang bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Obama di Hawaii pada hari Krismas ketika negara sedang menghadapi bencana bajir yang terburuk dalam sejarah.
Kepantasan ini diperlukan jika mereka menyedari dan menerima hakikat bahawa populariti Datuk Seri Najib dan isterinya berada pada tahap yang sangat rendah. Rakyat sinis terhadap kenyataan timbalannya bahawa Najib terpaksa bercuti kerana telah bekerja keras. – ZAM.
Disambut Kadir Jasin,
1. Sdr Zam, benar macam kata saudara iaitu Unit Komunikasi JPM perlu pantas mengeluarkan kenyataan mengenai PM bermain golf di Hawaii ketika negara dilanda banjir besar.
2. Tetapi saya yakin Saudara sendiri tahu siapa yang menerajui unit itu dan apa pula kepakaran mereka dalam isu perang saraf.
3. Sebelum Mohd Najib naik jadi PM, saya dan beberapa orang wartawan kanan menemui beliau dan antara yang kita sebutkan kepada beliau ialah peri pentingnya menangani pengaliran maklumat.
4. Saudara dan saya pasti nostalgia mengenai pertemuan berjadual yang berlaku antara para pengarang dan Tun Dr Mahathir ketika beliau menjadi PM. Di belakang tabir kita berbincang dan berbahas secara terbuka. Kita bersetuju dan tidak bersetuju.
5. PM sekarang mempunyai ramai pegawai dan penasihat media, termasuk dari luar negara. Mungkin kerana terlalu ramai dan mereka pula setia atau takut kepada banyak pihak, maka tidak ada kata sepakat menangani sesuatu masalah atau krisis.
6. Para pengarang dan wartawan pula tidak mempunyai kuasa mutlak lagi. Mereka memberitahu saya yang mereka terpaksa akur kepada banyak “wahyu”.
7. Bayangkan kemungkinan bukan semua “wahyu” ini memihak kepada PM. Apa kata ada di kalangan mereka yang bermain kayu tiga dan menjadi api dalam sekam?
Wallahuaklam.
Terima kasih.
– AKJ
Ketika teguran ini sangat baik, namun kesinisan dan keghairahan untuk turut sama membelasah Pejabat Perdana Menteri menimbulkan pertanyaan apakah ini kerana sayangkan UMNO dan Barisan Nasional atau sudah mahu menjatuhkan Perdana Menteri dengan apa cara sekalipun?
ZAM menyatakan bahawa BN dan Perdana Menteri berada dalam keadaan lemah. Apakah kerana itu dua orang bekas Pengarang besar ini mahu melemahkan lagi kerajaan ini?
Sebagai bekas dua pengarang besar yang telah mendapat begitu banyak kebaikan dari kerajaan BN ini, apakah mereka tidak merasa untuk turut membantu, bukannya merosakkan lagi imej yang ada?
Kita menerima jika teguran mereka berasaskan fakta. Malangnya teguran mereka lebih kepada emosi dan sentimen peribadi yang hanya mereka sendiri yang tahu.
Jika yang bermain golf di Hawaii bersama Barrack Obama ialah Perdana Menteri bernama Mahathir Mohamad dan mereka masih menjadi Ketua Pengarang akhbar terkemuka negara, saya percaya mereka akan mempertahankan tindakan tersebut dengan penuh dedikasi dan semangat kepahlawanan.
Saya tidak menyatakan kedua-dua mereka adalah “pak turut” Perdana menteri jika ada jawatan. Ini kerana saya tahu mereka sangat kritis ke atas kerajaan bila perlu seperti mana yang dibuktikan melalui isu al-arqam, perjuangan bahasa Melayu, kepentingan bumiputera dan juga hal-hal lain.
Namun saya percaya mereka berdua dapat melihat kebaikan dan kepentingan diplomasi golf ini kepada kepentingan Malaysia menjelang kemelesetan ekonomi dunia dan keadaan dunia yang semakin terbuka ini; seperti mana mereka mmepertahankan kerajaan dalam isu Memali atau peristiwa perjumpaan Tun Mahathir dengan Presiden Bush dibuat melalui pelobi Yahudi.
Mereka juga dengan mudah akan tahu sebab Jet kerajaan kekal di Amerika Syarikat dan singgah di beberapa tempat untuk mengisi minyak. Jika mereka menggunakan kayu ukur yang sama ketika menjadi Ketua Pengarang dahulu, pentadbiran Mohd Najib ini bukanlah seburuk gambaran dalam tulisan-tulisan mereka.
ZAM dan Kadir boleh mengkritik para pegawai media Perdana Menteri, namun saya fikir dalam dunia media yang sudah berubah dan berkembang pesat berbanding zaman mereka; menguruskan persepsi dan aliran maklumat tidak lagi semudah memanggil ketua-ketua pengarang akhbar bertemu Perdana Menteri setiap bulan.
Media massa telah menjadi begitu besar dan luas dari media cetak, media internet (portal, web dan blog), media sosial (Facebook, Twitter, Instagram) sehinggalah kepada teknologi komunikasi terkini seperti Whatsapp, Telegram, Lina, dan Wechat.
Cabaran dan rintangan Barisan Nasional dan Perdana Menteri begitu besar dan ia bertambah sukar dengan kewujudan kumpulan orang-orang pencen dari ahli politik, penulis dan kakitangan kerajaan yang bernostalgia dengan kehebatan zaman masing-masing sehingga memandang lekeh kepada pentadbiran hari ini.
Apa salahnya sebagai yang pernah mendapat tempat dan naugan politik samada bekas pemimpin, pengarang atau kakitangan kerajaan memberi sedikit ruang dan peluang kepada Mohd Najib melaksanakan misi dan visi beliau sebagai Perdana Menteri?
Sudah tentu teguran terhadap polisi dan pentadbiran perlu dilakukan sebagai satu sempadan kepada Mohd Najib. Namun ia tidak harus menjadi terlalu peribadi dan emosi sehingga ibarat kata pepatah, “marahkan nyamuk, kelambu dibakar.”
Kadir sendiri pernah merasai bagaimana dipersalahkan oleh pentadbiran Mahathir apabila gagal menjelaskan dengan baik isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 sehingga memberi kesan besar kepada Pilihan Raya 1999. Ini berlaku di awal kemunculan internet yang pada masa tersebut hanya mempunyai Forum Internet dan laman-laman web seperti Mahazalim dan Mahafiraun tanpa ratusan blog dan ribuan Page Facebook menyebarkan maklumat tidak benar.
ZAM sendiri kemudiannya diberi peluang menjadi Menteri Penerangan pada zaman pantadbiran Abdullah Ahmad Badawi, dan kita semua tahu catatan-catatan hitam penerangan kerajaan zaman ZAM menjadi Menteri.
1) Youtube of Zainuddin Maidin embarassing himself (our revered Malaysian Information Minister, Zainuddin Maidin, gives an interview to Al-Jazeera. http://scottthong.wordpress.com/2007/11/15/2007-bersih-rally-super-cover-up-job-by-government-and-mainstream-media/
2) What follows is a transcript of the telephone interview that Malaysia’s Minister of Information Zainuddin Maidin (ZAM) gave to the Doha-based TV Network Al-Jazeera http://www.idlethink.com/bersih/
3) Pada Zainudin Maidin, anda telah memalukan negara dan menjatuhkan imej Malaysia sebagai salah satu negara ‘demokrasi’ yang dikatakan paling maju dikalangan negara OIC https://dppwp.wordpress.com/2007/11/13/zainuddin-maidin-yang-bergigi-kuning/
4) Sikap menuduh dan bercakap “seperti keling karam” ( pepatah untuk menguatkan kenyataan) apabila di soal oleh wartawan Al Jazeera amat memalukan kita rakyat Malaysia.http://tuntelanai.blogspot.com/2007/11/menteri-penerangan-menteri-lembu.html
5) Menganalisa Kerencatan Seorang Menteri Penerangan http://www.najwanhalimi.com/2007/11/menganalisa-kebodohan-seorang-menteri.html
6) Pada 5 November 2007, ketika sesi penggulungan perbahasan bajet 2008 di parlimen, Lim Kit Siang menyatakan bahawa Malaysia jatuh merudum sebanyak 32 anak tangga dari kedudukan 92 hingga 124 dalam indeks kebebasan media kerana faktor Zainuddin Maidin. http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=article&sid=9732
7) The Ugly Malaysian : Zainuddin Maidinhttp://steadyaku-steadyaku-husseinhamid.blogspot.com/2011/05/ugly-malaysian-zainuddin-maidin.html
8) Malaysian Information Minister, Zainuddin Maidin loses it on Al Jazeera interview http://www.mrbrown.com/blog/2007/11/malaysian-infor.html
Saya percaya kedua-dua pengarang besar ini masih mampu memberi sumbangan kepada negara. Mereka harus mula mendefinisikan semula diri mereka sebagai pengarang besar, bukannya sebagai penulis blog yang perlukan bahan sensasi setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan untuk kekal relevan.
Jika Ernest Hemingway boleh menghasilkan mahakarya “The Old Man and the Sea” di usia tuanya, tidak mustahil kedua-dua pengarang ini boleh menghasilkan tulisan-tulisan berkualiti ke arah pembangunan negara yang lebih baik.
Negara tidak boleh dibangunkan melalui gosip-gosip liar dan kritikan-kritikan menjatuhkan pemimpin. Saya percaya Perdana Menteri bersedia mendengar kritikan yang konstruktif.



0 comments:

share2