Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 24, 2014

KUANTAN: MAYAT PEMANCING DIPUKUL OMBAK DITEMUI TERDAMPAR


Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui terdampar pada batu pemecah ombak di kawasan Pelabuhan Kuantan, semalam.


Kuantan – Mayat seorang pemancing, Tan Kok Meng, 47 yang hilang sejak dua hari lepas selepas bot yang dinaikinya terbalik dipukul ombak berhampiran pantai kampung Baru, gebeng, di sini, akhirnya berjaya ditemui pagi semalam.

Mayat mangsa ditemui terdampar pada batu pemecah ombak di sekitar kawasan Pelabuhan Kuantan oleh pasukan penyelamat yang menjalankan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 8.00 pagi.

Penguasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ketua zon 1 Pahang, Ramli Yusof berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 280 meter dari lokasi kejadian dan pasukan penyelamat berdepan sedikit kesukaran ketika operasi mengeluarkan mayat disebabkan beberapa faktor.

Menurutnya, operasi SAR diteruskan semula semalam selepas terpaksa diberhentikan kelmarin kerana keadaan cuaca buruk dan tidak menentu.

“Seramai 20 orang anggota terlibat ketika operasi untuk mengeluarkan mayat mangsa dari celahan batu dan kita berdepan sedikit kesukaran kerana keadaan cerun batu pemecah ombak yang agak tinggi disebabkan air surut.

“Anggota penyelamat terpaksa menggunakan tali dan peralatan tambahan yang bersesuaian bagi membantu memudahkan operasi.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tujuan bedah siasat dan diserahkan kepada keluarga.

“Seramai 40 anggota penyelamat terdiri daripada JBPM Gebeng dan Kuantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terlibat sepanjang SAR dijalankan,” katanya kepada pemberita.

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa yang tinggal di Batu 3, Jalan Kuantan-gambang, di sini, tercampak ke dalam laut dan gagal dikesan selepas bot gentian kaca yang dinaiki bersama seorang rakan terbalik akibat dipukul ombak.

Bagaimanapun, rakan mangsa, Chea Yong San, 33 berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai sebelum meminta bantuan orang ramai dan kemudiannya membuat laporan mengenai kejadian itu.

0 comments:

share2