Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 9, 2014

300 PENDUDUK CHEMOR DAN MANJOI DIPINDAHKAN


IPOH, 9 Dis - Lebih 300 penduduk di kawasan Chemor dan Manjoi di sini dipindahkan ke tiga pusat pemindahan banjir setakat 8 pagi ini apabila kediaman mereka dinaiki air ekoran hujan lebat sejak malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Hasri Hasbi berkata 40 keluarga melibatkan 285 mangsa dari Kampung Seri Klebang Tambahan 2 di Chemor dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Klebang.

"Dua keluarga dari Taman Klebang Selatan 2, Chemor kini berada di Dewan Komuniti Taman Klebang Selatan, namun jumlah mangsa masih belum direkodkan oleh Majlis Keselamatan Negara," katanya kepada ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata hujan lebat sejak malam tadi turut mengakibatkan banjir di Kampung Kuala Tanggung dan Kampung Tengku Hussein Lama di Manjoi.

Katanya seramai enam keluarga membabitkan 23 mangsa yang terdiri daripada enam lelaki dewasa, perempuan dewasa (12), kanak-kanak lelaki (empat) dan seorang kanak-kanak perempuan dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Tengku Hussein.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 9.41 malam dan seramai 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Meru Raya dan Simpang Pulai terlibat dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa.

"Setakat ini paras air sungai di Kampung Seri Klebang Tambahan Dua mencecah satu meter manakala Kampung Kuala Tanggung dan Kampung Tengku Hussein Lama mencecah 1.5 meter," katanya.

Beliau berkata pihaknya masih memantau keadaan banjir di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meninjau kawasan banjir di Manjoi dan Chemor malam tadi.




0 comments:

share2