Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 5, 2014

HANYA KERANA RM1, DITUMBUK


Sai Tong menunjukkan kecederaan di kepalanya akibat ditumbuk penjenayah berkenaan.


Bandaraya Melaka - Hanya kerana tidak menyerahkan RM1, seorang lelaki berusia 54 tahun cedera ditumbuk di kepala oleh penjenayah dalam kejadian samun di Bandar Hilir, di sini.

Kejadian berlaku kira-kira 6 pagi Ahad lalu, apabila mangsa, Loy Sai Tong ditumbuk sebanyak tiga kali di kepala oleh seorang lelaki berusia lingkungan 20-an ketika sedang berjalan kaki di Jalan Tambi Abdullah untuk ke tempat kerja di Jalan Bunga Raya, di sini.

Sai Tong berkata, dia bekerja sebagai pembantu di sebuah gerai makan dan berjalan kaki selama 45 minit untuk ke tempat kerja dengan melalui jalan berkenaan.

"Tiba-tiba, saya didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal. Pembonceng turun dan meminta RM1 daripada saya.

"Saya keluarkan 10 keping duit RM1 yang terlipat dari poket lalu menyerahkan kepadanya," katanya.

Walaupun sudah menyerahkan wang itu, katanya, penjenayah itu sekali lagi meminta RM1.

"Saya kata, duit saya sudah habis bagi pada dia, lalu dia terus tumbuk saya tiga kali.

"Saya jatuh atas jalan menyebabkan kaki dan tangan kanan saya luka," katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Sai Tong, kedua-dua lelaki itu kemudian memecut motosikalnya, manakala dia terus berjalan kaki dalam keadaan sakit ke tempat kerja sebelum dibantu seorang lelaki berusia 50-an yang ditemuinya di pasar berhampiran.

“Lelaki itu membantu saya menyapu ubat di tangan, kaki dan kepala yang berdarah," katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun secara berkumpulan.

0 comments:

share2