Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 20, 2014

KUANTAN: LELAKI MAUT LEHER KENA TETAK


Anggota Forensik memeriksa mayat lelaki Indonesia yang dijumpai dengan kecederaan parah di leher dan lebam di badan dipercayai selepas diserang sekumpulan lelaki Indonesia yang datang ke rumah kongsi mangsa dengan empat buah kereta di sini, malam kelmarin.


Kuantan - Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati berlumuran darah dengan kesan tetak di leher dan lebam pada anggota badan di sebuah rumah kongsi, berhampiran Kolej Polytech Mara, Kampung Teluk Mahang, di sini, malam kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Sairah, 39, dari Lombok, Indonesia itu ditemui terbaring berlumuran darah di bilik mandi oleh rakan serumah kira-kira jam 8 malam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Saleh berkata, mangsa diangkat ke bilik tidur oleh rakannya bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia kira-kira setengah jam kemudian.

Menurutnya, susulan kejadian, rakan mangsa mendapatkan bantuan dengan menghubungi polis.

“Mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan di sebuah projek di kawasan itu dipercayai dipukul lebih 10 individu yang datang ke rumah kongsi tersebut menaiki empat kereta.

“Ketika kejadian mangsa berseorangan di rumah kongsi itu sebelum didatangi suspek yang juga warga Indonesia,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, mangsa dipercayai dipukul ekoran pergaduhan yang tercetus mungkin disebabkan perselisihan faham antara mereka.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek terlibat dan punca sebenar kejadian yang membawa kepada kematian mangsa,” katanya.

Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi memburu semua suspek terlibat kejadian untuk membantu siasatan.

“Kita juga berusaha mengesan senjata yang digunakan suspek untuk menetak mangsa hingga menyebabkan kematiannya.

”Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat seterusnya perkara itu akan dimaklumkan kepada pejabat kedutaan Indonesia untuk proses penghantaran pulang mayat,” katanya.

0 comments:

share2