Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 23, 2014

IBU JADI MANGSA HUTANG ANAK

Rumah diconteng dengan tulisan Cina meminta menjelaskan hutang.


Seremban - Hanya kerana anaknya berhutang dengan ah long, seorang wanita warga emas bukan saja ketakutan selepas diugut baru-baru ini, malah rumah sewa didiaminya turut disimbah cat, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira 5 pagi itu selepas beberapa hari rumahnya di Taman Bukit Emas, dekat sini didatangi tiga lelaki yang mengugut akan menyimbah cat sekiranya anak mangsa gagal melangsaikan hutang dengan segera.

Menceritakan kejadian, mangsa, Leong Mei Kuan, 60, berkata, dia menyedari kereta Perodua Myvi yang diletakkan di garaj rumahnya dipenuhi cat merah.

“Sejak saya dapat ugutan daripada tiga lelaki itu, saya tak dapat tidur lena.

“Semalam (kelmarin) saya tak sedap hati. Semasa saya mahu pergi ke tandas, saya sempat pandang ke bahagian luar rumah dan terkejut apabila nampak kereta saya sudah disimbah cat merah,” katanya.

Selepas diperiksa, katanya, bahagian dinding pintu pagar rumahnya turut diconteng dengan tulisan Cina meminta anaknya menjelaskan hutang.

Mei Kuan berkata, dia mengesyaki anak lelaki sulungnya ada berhutang dengan ah long.

“Saya ada dua orang anak lelaki dan seorang perempuan. Anak lelaki sulung saya baru beberapa bulan tinggal bersama saya. Sebelum ini dia tinggal dengan bekas suami.

Menurutnya, dia memberitahu kejadian itu kepada anaknya itu yang akhirnya mengaku ada meminjam ah long.

Disebabkan kejadian itu, katanya, dia kini semakin tertekan dan bimbang keselamatan diri.

“Tolonglah, jangan cari saya. Saya langsung tak kaitan dengan pinjaman itu," katanya yang tidak mengetahui jumlah hutang dibuat anaknya itu.

0 comments:

share2