Kuala Pilah – Seorang pemuda tidak menyangka hidupnya akan berubah sekelip mata selepas terjatuh ketika memeriksa sebuah bangunan di Pulau Pinang, Ogos lalu.
Muhammad Shahrizad Saharuddin, 25, berkata, ketika itu, dia yang bekerja sebagai buruh memeriksa bangunan itu di luar tingkap sebelum tergelincir.
Menurutnya, akibat kejadian itu, tangan kiri dan pinggulnya patah.
“Saya pergi ke tapak projek itu untuk memeriksa bangunan sebelum memasang penebat kilat. Saya pergi ke sana selepas waktu bekerja iaitu jam 6 petang.
“Bagaimanapun ketika sedang memeriksa kawasan itu, saya tergelincir lalu terjatuh dari tingkat tiga. Saya menahan diri saya menggunakan tangan kiri dan pinggul secara mengiring untuk mengelakkan kepala terhentak di atas jalan,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di
Kampung Padang Lebar, dekat sini.
Shahrizad berkata, buat masa ini, dia terpaksa tinggal bersama ibunya sehingga pulih.
“Sebelum ke sini, saya dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang selama tiga minggu dan terpaksa menjalani pembedahan sebanyak tiga kali bagi merawat tulang yang patah.
“Pada awalnya kos pembedahan amat tinggi iaitu RM 3,439 tetapi selepas saya menerangkan kepada pihak hospital di mana saya dari keluarga kurang mampu, akhirnya keluarga saya perlu membayar RM439 sahaja.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak hospital kerana membantu saya dan kini saya perlu membuat rawatan susulan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dan rawatan fisioterapi,” katanya.
Terdahulu Shahrizat menerima bantuan kerusi roda hasil sumbangan Adun Juasseh, Datuk Mohammad Razi Kail.
Dalam pada itu, Shahrizat juga menzahirkan ribuan terima kasih di atas sumbangan kerusi roda yang diterimanya.
“Sebelum ini, saya menggunakan tongkat sahaja tetapi apabila menerima kerusi roda, ia lebih memudahkan saya untuk pergi membuat rawatan susulan di hospital,” katanya.
0 comments:
Post a Comment