Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 16, 2014

UPSR: GILIRAN JURUTERA PULA DIREMAN


UPSR Bocor

Kepong - Seorang jurutera berusia 34 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Mohd Rehan Mohd Aris di Lokap Bersepadu, Jinjang, dekat sini bermula hari ini hingga 19 September.

Lelaki yang ditahan polis di Kemaman, Terengganu itu disiasat mengikut Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Seksyen 8 (1) OSA menetapkan jika seseorang yang ada dalam miliknya atau kawalannya sesuatu rahsia rasmi atau sesuatu perkataan kod, isyarat timbal atau kata laluan rasmi yang rahsia dan berhubungan dengan atau digunakan dengan apa-apa jua di sesuatu tempat, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun.

Sinar Harian hari ini melaporkan, empat individu termasuk seorang guru besar turut direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Sebelum ini pada 10 September lepas, Lembaga Peperiksaan (LPM), Kementerian Pendidikan mengumumkan kertas Sains 018, 028 dan 038 UPSR yang dijadualkan keesokan harinya didapati bocor dan peperiksaannya ditangguhkan.

Selain Sains, kertas peperiksaan bahasa Inggeris juga didapati bocor.

Seramai 473,175 calon menduduki UPSR yang dijadualkan bermula pada 9 sehingga 11 September lalu.

Berikutan itu, LPM menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.

0 comments:

share2