Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 7, 2014

LANGKAH HJ. HADI BERSIHKAN PAS



Oleh Riana Abd Aziz

Riuh rendah hari ini dengan video Majlis Dialog Hadi Awang secara terbuka dengan ahli-ahli Pas dan juga pemimpin-pemimpin tepatan Pas di sekitar Terengganu yang dibuat di Rusila semalam. Kesan ‘viralnya’ majlis dialog tersebut hinggakan muncul dalam berita TV3.

Majlis tersebut yang dilihat seperti satu majlis penjelasan Hadi Awang yang paling berani dan telus ketika kemelut isu Menteri Besar Selangor yang dilihat belum sampai ke penghujungnya. Hadi Awang memberi kebebasan sepenuhnya soalan dari ahli-ahli Pas yang hadir dan seperti yang sudah dapat diagak oleh beliau, kebanyakan soalan berkisar tentang pendirian Pas dalam ikatan hubungan dengan komponen pakatan, tentang siapakah nama calon yang dihantar oleh Pas dan kelayakan Wan Azizah dikerusi Menteri Besar tersebut.

Mungkin Hadi Awang terfikir, beliau sebagai Presiden Parti boleh menjawab dengan tenang disamping menyelitkan kenyataan sinis kepada ‘golongan baru’ dalam Pas yang dilihat cuba mengasak dan menjadikan isu Selangor sebagai asas untuk menolak kepimpinan Ulama dalam parti tersebut selama ini.

Buktinya, ketika menjawab pada satu soalan, Hadi Awang menceritakan betapa amalan Pas selama ini, kuasa Presiden Partilah yang menentukan siapa Menteri Besar ketika Pas menang di Kelantan, Kedah dan Terengganu satu ketika dahulu dan tidak perlu dirujuk kepada Jawatan Kuasa Pas Pusat.

“Presiden ada hak untuk membuat keputusan, Timbalan Presiden, Naib-Naib dan ahli harus mendokong” terang Hadi Awang.

Begitu juga halnya dalam isu Selangor, sebagai Presiden parti, Hadi Awang menjelaskan bahawa surat yang di hantar oleh Istana Selangor ditujukan kepada beliau sebagai Presiden Pas dan hanya beliau sahaja yang boleh menjawab surat berhubung dengan senarai nama calon dari Pas.

Hadi Awang juga turut menyelar golongan yang diberitakan masih kekal tidak berpuashati dengan pendirian beliau dalam menangani krisis jawatan Menteri Besar Selangor supaya mengambil langkah keluar dari Pas dan tubuhkan parti baru ketika menjawab soalan mengenai wujudnya satu pertubuhan baru yang diberi nama PasMa.

Di majlis dialog ini juga Hadi Awang sekali lagi mengeluarkan hujah kenapa beliau tidak menyokong Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor atas dasar ketidakupayaan Wan Azizah berhadapan dengan pihak lawan dalam dewan bakal mengundang masalah dikemudian hari.

Hadi juga turut menjelaskan bahawa Majis Syura Ulama membuat keputusan tak setuju dengan calon ini kerana bercanggah dengan hukum islam. Syarat hukum Islam mesti seorang yang layak. Yang mampu untuk memikul jawatan ketua kerajaan.

Beliau turut membaca sepotong hadis: “Barang siapa yang mewakilkan urusan Islam dia melantik seseorang memegang jawatan bukan kerana kelayakan, tetapi kerana kecenderungan dia, kerana sebab-sebab puak dia, bukan kerana kebolehan dia, tuhan tak terima tebusan duit, tebusan apa, hingga diseret ke neraka jahanam.”

Bagi Hadi Awang, mungkin di majlis tersebutlah masa yang amat sesuai beliau pulihkan kembali imej kumpulan ulamak yang menerima tohmahan dan hinaan dengan pelbagai gelaran, yang paling popular adalah gelaran ‘Ulamak U-Turn’, Ulama lidah biawak dan pelbagai lagi.

Hadi Awang turut dilihat cuba menyampaikan kepada ahli Pas yang hadir betapa wujudnya golongan atau kumpulan tertentu yang cuba menghancurkan Pas dari dalam bila di akhir majlis beliau membaca satu hadis Nabi,

“Kamu laksana berada dalam satu bahtera, ada orang yang duduk di petak di atas, ada orang yang duduk di petak yang bawah, lalu orang yang duduk di petak di bawah ada masalah dengan orang yang duduk di petak di atas, kerana payah nak dapat air sangat. Lalu orang petak bawah ni kata, kalau nak deras dapat air, kita ambik kapak tebuk kapal..”

Apakah kali ini Hadi melangkah dengan betul? atau sekadar tunjuk jantan di hadapan ahli yang mula meragui pendirian Presiden yang dianggap tidak konsisten? atau Hadi bakal “dilangkah” dimusim pemilihan parti akan datang oleh kumpulan Anwarinas?

Apa juga yang Hadi Awang cuba jelaskan nampaknya masih wujud “U-Turn”, sekejap mengikut mesyuarat Pas, sekejap akur dengan Majlis Kepimpinan Pakatan dan akhirnya mula bersandarkan kepada Hadis dan Wahyu Allah swt pula. Kita tunggulah nanti, beranikah Hadi Awang “Melangkah” di Pilihanraya Kecil Pengkalan Kubur dengan mengambil balik kerusi tersebut dari Pkr dengan alasan kerusi itu hanya pinjaman sahaja.



0 comments:

share2