Kuantan - Tiga premis perniagaan iaitu dua kedai serbaneka 24 jam dan sebuah restoran menjadi mangsa samun sekumpulan lelaki bersenjatakan pisau dan parang dalam tempoh sejam di sini, awal pagi kelmarin.
Kejadian antara jam 4 hingga 5 pagi itu dilaporkan berlaku di tiga premis berasingan di Indera Mahkota 8. Jalan Mahkota dan Jalan Penjara di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, ekoran kejadian, nilai kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah lebih RM2,000 termasuk rokok, wang tunai dan barang peribadi mangsa.
Menurutnya, mangsa juga trauma apabila berdepan detik cemas setelah diacukan pisau oleh penjenayah bagaimana pun dalam ketiga-tiga kejadian itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.
“Kejadian pertama dilaporkan berlaku kira-kira jam 4 pagi melibatkan sebuah restoran di Jalan Mahkota di sini.
“Dalam kejadian itu pengadu, seorang pembantu restoran berusia 49 tahun mendakwa didatangi tiga lelaki bersenjatakan pisau ketika berada di kaunter bayaran sebelum salah seorang daripada mereka menghampirinya sambil mengacukan pisau di leher,” katanya.
Abdul Aziz berkata, suspek bertindak memaksa pengadu menyerahkan wang dan kerana bimbang ancaman penjenayah itu, lelaki terbabit menyerahkan wang tunai RM500 dan dua karton rokok.
“Seorang lagi suspek ke bahagian dapur dan mengambil sebilah parang sebelum diletakkan di kepala rakan pengadu, seorang tukang masak warga India sebagai amaran supaya tidak melawan.
“Suspek yang dipercayai warga tempatan tidak memakai sebarang penutup muka semasa melakukan jenayah,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah kedai serbaneka di Indera Mahkota 8 di sini turut menjadi mangsa samun tiga penjenayah dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi, kelmarin.
“Dalam kejadian itu, pekerja premis didatangi tiga lelaki bersenjatakan pisau sebelum mengarahkan mangsa menyerahkan wang hasil jualan, rokok dan barang peribadi.
“Dalam kejadian samun itu, suspek melarikan sejumlah rokok bernilai RM1,300, wang tunai RM125 termasuk duit milik mangsa berjumlah RM20,” katanya.
Abdul Aziz berkata, hasil siasatan pihaknya, polis berjaya mengenal pasti wajah suspek berdasarkan pita rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) premis tersebut.
Menurutnya, kira-kira setengah jam selepas kejadian itu, pihaknya menerima laporan satu kes samun juga melibatkan kedai serbaneka 24 jam di Jalan Penjara di sini.
“Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, pekerja premis, seorang wanita berusia 20 tahun mendakwa dia didatangi seorang lelaki memakai topi keledar bersenjatakan parang panjang sebelum mengacukan senjata itu dan mengarahkan supaya dia menyerahkan wang.
“Mangsa yang berada dalam ketakutan menyerahkan wang tunai hasil jualan berjumlah RM104,” katanya.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa bertugas berdua bagaimanapun salah seorang rakannya berada dalam stor pejabat sempat menyaksikan kejadian namun tidak berani untuk bertindak.
Abdul Aziz berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti suspek terlibat dan kemungkinan ketiga-tiga kes samun itu didalangi individu atau kumpulan yang sama.
0 comments:
Post a Comment