Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 7, 2014

FAM GUNA KOD TATATERTIB BAHARU KES PIALA MALAYSIA


Kuala Lumpur: Kesemua insiden membabitkan saingan Piala Malaysia musim ini akan dibincangkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Kod Tatatertib baharu diluluskan oleh badan induk itu bulan depan.

Kod Tatatertib itu diselaraskan dengan kerjasama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata segala laporan yang diterima oleh FAM akan diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan Datuk Kang Hwee Ghee.

Antara kes yang akan dibincangkan ialah insiden kekecohan selepas perlawanan Piala Malaysia antara Sarawak dan Perak di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu lalu dan insiden jurulatih Kelantan George Boateng dilaporkan meluru masuk ke padang dan cuba menyerang pengadil selepas perlawanan dengan Johor Darul Ta'zim di Stadium Sultan Mohamed ke-IV, Kota Baharu, Selasa lalu.

"Kod tatatertib baharu akan diguna pakai untuk kes terbabit selepas mesyuarat exco meluluskannya pada 9 Oktober ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tajaan RM1 juta oleh Felda kepada Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) sempena kejohanan Bola Sepak Pantai AFF.

Hamidin berkata sebelum pertukaran status kod tatatertib itu diluluskan oleh FAM, perkara tersebut akan dibincangkan dalam seminar membabitkan jawatankuasa integriti, tatatertib, etika dan jawatankuasa rayuan.

Majlis itu turut dihadiri oleh Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Setiausaha Agung AFF Datuk Aizuddin Ahmad dan Pengurus Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad.

Hamidin berkata taklimat mengenai kod tatatertib baharu akan diberikan oleh pegawai-pegawai dari AFC dan FIFA.

0 comments:

share2