Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 6, 2014

'DR ARIFIN' BERJAYA DICEKUP


Azmi bersama Normansah (kanan) menunjukkan barang curi yang dirampas polis.

Kuala Pilah – Seorang lelaki berpakaian kemas dan menyamar sebagai 'Dr Arifin' dicekup ketika cuba memecah masuk asrama perempuan di sebuah kolej matrikulasi, dekat sini, 26 Ogos lalu.

Kejadian berlaku jam 9 pagi itu disedari oleh seorang penyelia asrama yang curiga dengan kehadiran sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hitam yang diparkir di bangunan asrama C4 di kolej terbabit sebelum bertindak membuat intipan di bangunan asrama lima tingkat itu.

“Curiga dengan kehadiran kereta berkenaan ketika pelajar sedang menghadiri kelas masing-masing, penyelia asrama tersebut telah memeriksa di setiap tingkat asrama.

“Setibanya di tingkat dua asrama tersebut, dia terlihat seorang lelaki berpakaian kemas seperti seorang pensyarah sedang membuka pintu bilik pelajar dengan menggunakan sekeping kad.

"Bagaimanapun, suspek yang terkejut dengan kehadiran penyelia itu tidak sempat melarikan diri dan dia berjaya ditangkap pengawal keselamatan dan kakitangan kolej," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Azmi Abdul Rahim berkata, bertindak atas laporan itu, polis diketuai Deputi Superitendan Normansah Din dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah (IPDKP) menahan suspek pada hari yang sama.

Katanya, suspek berusia 26 tahun yang berasal dari Lendu, Alor Gajah direman sehingga semalam.

“Kita turut merampas empat keping kad dipercayai digunakan untuk membuka pintu bilik pelajar dan tiga telefon bimbit serta sebuah gajet berada di dalam kereta suspek, dipercayai barang curi.

"Kita juga turut menjumpai peralatan pecah rumah, dokumen milik mangsa serta sehelai blazer tertera nama ‘Dr Arifin’ yang digunakan sebagai tujuan penyamaran, dalam kereta terbabit," katanya pada sidang media di IPDKP, semalam.

Tambah Azmi, dua laporan polis turut dibuat oleh pelajar asrama bila mendapati beberapa gajet milik mereka hilang selepas bilik mereka dipecah masuk.

Menurutnya lagi, polis turut ke rumah suspek di Lendu, Alor Gajah bagi menjalani siasatan lanjut.

"Kita berjaya merampas 37 gajet daripada pelbagai jenis, antaranya 14 telefon bimbit pelbagai jenama, 11 komputer riba, sebuah note book, dan sebuah kamera 
DSLR

yang telah dijual di kedai pajak gadai dan kedai telekomunikasi di sekitar daerah Alor Gajah dan Melaka
Tengah.

Menurutnya, suspek yang masih bujang dipercayai melakukan kegiatan itu sejak awal tahun lalu dan bergerak secara solo.

“Kami turut yakin, suspek hanya menjadikan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebagai sasaran untuk melakukan kegiatan jenayah ini," katanya.

Kata Azmi, suspek merupakan bekas tukang masak di Universti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, sekali gus menyebabkan dia mahir tentang selok belok insitusi berkenaan.

“Suspek memiliki pengetahuan luas berkaitan aspek keselamatan di institusi berkenaan, maka secara tidak langsung memberi peluang untuk dia melakukan kegiatan mencuri.

“Hasil daripada menjual barang curi, suspek turut menyewa sebuah kereta bernilai RM600 sebulan selama setahun,” katanya.

Menurut Azmi, dengan tertangkapnya suspek, pihak polis percaya telah dapat menyelesaikan 15 laporan polis mengenai pecah masuk asrama di Kolej Matrikulasi terbabit yang dilaporkan sebelum ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan, Seksyen 457/511 atas cubaan pecah masuk bangunan, Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1995
kerana memiliki barang curi," katanya.

Sementara itu, kata beliau, kelonggaran pemeriksaan keselamatan keluar masuk pintu utama di kolej-kolej menjadi faktor utama berlakunya kes tersebut.

“Justeru, kita harap pihak berkaitan dapat meningkatkan tahap keselamatan dengan lebih ketat agar kes ini tidak berulang kembali,”katanya.

0 comments:

share2