Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 16, 2014

'BALIKLAH ATA...EMAK DAH ABAH RINDU'


Aziz dan Siti Khalijah risaukan keselamatan Ata dan berharap anaknya itu berjaya ditemui segera. Gambar bulat: Muhammad Azri Hakimi atau Ata.

Pelabuhan Klang - Hati ibu bapa mana yang tidak luluh apabila anak kandung yang ditatang bagai minyak yang penuh tiba-tiba hilang tanpa diketahui keadaan nasibnya.

Lebih-lebih lagi, anak yang hilang itu merupakan seorang orang kurang upaya (OKU), sudah tentu perasaan risau akan keselamatan si anak menjadikan si ibu dan ayah bertambah gusar. 

Begitulah yang dirasai Aziz Wahab, 47, dan isterinya Siti Khalijah Arshad apabila anak lelaki mereka berusia 15 tahun dilaporkan hilang sejak Khamis lalu.

Aziz yang ditemui Sinar Harian lewat petang semalam, tidak putus-putus merayu agar Muhammad Azri Hakimi atau lebih mesra dipanggil Ata pulang ke pangkuan keluarga.

“Baliklah Ata... Mak dengan abah rindukan Ata... Mak dengan abah risaukan Ata..." katanya sebak.

Bapa malang itu memberitahu, sehingga semalam Ata masih belum ditemui.

"Dia hilang masa keluar beli mi di gerai berdekatan rumah kami. Ketika tu, saya keluar sekejap sebab hantar anak-anak yang lain ke sekolah. Dia keluar beli mi seorang diri.

"Ya ALLAH, risaunya hati saya ni... Saya sangat bimbang keselamatan dirinya. Manalah kamu Ata... Balik lah nak..." katanya sayu.

Aziz sekeluarga yang menetap di Pangsapuri Seri Perantau, di sini, berkata, Ata adalah anak ketujuh daripada lapan beradik mengalami masalah sindrom down sejak kecil.

“Ata dah biasa keluar sendirian... Selalunya dia akan balik setengah jam atau sejam lepas keluar rumah. Sebab tulah, kami benarkan dia keluar seorang diri. Tak sangka pula dia boleh hilang...” katanya

Katanya, sehingga jam 11 pagi semalam, Ata belum kelihatan.

“Risau akan keselamatannya, saya dan isteri keluar cari di sekitar kawasan Pangsapuri dan bertanyakan jiran hingga lewat petang, tapi gagal...

“Lepas tu, kami buat laporan polis di Balai Pelabuhan Klang sekitar jam 6.15 petang,” katanya.

Ketika hilang, Ata memakai baju-T dan seluar jeans berwarna putih, katanya.

Aziz mohon jasa baik orang awam jika melihat kelibat Ata dapat menghubunginya di talian 019-3294064 atau menghubungi balai polis berdekatan.

0 comments:

share2