Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 2, 2014

SULTAN NAZRIN JUNJUNG WASIAT


Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kelihatan sebak ketika merasmikan Masjid Daerah Batu Gajah
yang kini dikenali sebagai Masjid Toh Puan Besar Hatijah yang diilhamkan oleh ayahanda
baginda, Almarhum Sultan Azlan Shah.

Batu Gajah – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kelmarin berkenan menjunjung wasiat Almarhum Sultan Azlan Shah untuk merasmikan sebuah masjid bernilai RM21 juta di sini yang dibina semula sejak 2008.

Baginda turut berkenan menamakan semula masjid tersebut sempena nama nenda baginda, Toh Puan Besar Hatijah yang merupakan pewakaf tanah tersebut pada 1930-an.

Titah baginda, Almarhum ketika hayatnya telah memberikan penuh perhatian, secara langsung memantau dan mengawas kerja-kerja pembinaan semula masjid ini malah telah memberi sentuhan peribadi kepada reka bentuk, hiasan dalam dan komposisi kompleks masjid
selain sering kali berangkat melakukan lawatan tapak.

“Ayahanda beta telah mewasiatkan agar masjid ini perlu dirasmikan pada bulan Ramadan tahun ini selain diadakan majlis berbuka puasa pertama sultan bersama rakyat di Batu Gajah.

“Walaupun Almarhum tidak sempat bersolat di masjid ini selepas siap dibina semula namun projek pembinaan masjid ini merupakan pembinaan terakhir yang Almarhum telah berikan tumpuan dan terlibat secara langsung,” titah baginda dalam keadaan sebak sempena perasmian masjid tersebut dan majlis berbuka puasa di sini, kelmarin.

Masjid Toh Puan Besar Hatijah dahulunya dikenali Masjid Daerah Batu Gajah adalah bangunan pertama yang dirasmikan Sultan Nazrin selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-35.

Masjid yang asalnya diperbuat daripada kayu telah dirobohkan sebelum diganti dengan binaan berasaskan batu-bata pada 1970-an.

Pada akhir 2006, Almarhum Sultan Azlan Shah menitahkan agar masjid tersebut dibina semula dan pembinaannya telah dimulakan pada 9 Oktober 2008.

Terdahulu, Sultan Nazrin bersama adinda baginda, Raja Datuk Seri Azureen dan Raja Datuk Seri Eleena serta kerabat diraja yang lain menziarahi makam Toh Puan Besar Hatijah Ahmad dan bapa saudaranya, Datuk Seri Raja Baharom Shah Sultan Yusuff Izzuddin Shah di
Tanah Perkuburan Islam Segedup dekat sini.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin ketika menceritakan kisah ayahandanya pekan Batu Gajah, baginda sekali lagi sebak ketika bertitah.

“Walau sejauh mana merantau, Almarhum sentiasa mencari masa untuk kembali memijakkan kaki di bumi Batu Gajah yang menjadi menjadi tempat baginda diputerakan.

“Ayahanda beta juga terus mendampingi rakan-rakan sepermainan dan sepersekolahannya di Batu Gajah yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, agama dan kaum sepanjang hayat baginda menjenguk mereka,” titah Nazrin lagi.

Titah baginda, ingatan Almarhum kepada bumi dan alam persekitaran Batu Gajah sentiasa kuat dan Rumah Allah itu adalah hadiah kenangan daripada Almarhum kepada masyarakat Batu Gajah yang sangat nostalgik dalam ingatan baginda.

“Semoga usaha Almarhum membangunkan kemudahan fizikal ini akan disambut dan dilengkapi oleh ahli-ahli qariah dengan menganjurkan pelbagai aktiviti agar masjid ini menjadi masjid yang hidup, diimarahkan setiap masa dan sepanjang waktu,” titah baginda.

Baginda kemudiannya berbuka puasa sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah di masjid tersebut.

Raja Nazrin turut menunaikan solat Isyak dan sunat tarawih secara berjemaah sebelum berangkat pulang kira-kira jam 10 malam.

0 comments:

share2