Shah Alam - Kelmarin dia masih bersama kami menatap skrin komputer, tekun menyunting berita-berita yang dihantar wartawan.
Kelmarin, dia masih bersama kami semeja berbuka puasa semasa azan Maghrib berkumandang.
Kelmarin, dia masih bersama kami, merapat saf berjemaah di surau Karangkraf.
Kelmarin, dia juga masih bersama kami, jalan beriring ke kereta untuk pulang ke rumah bila tugasan selesai dilunas.
Namun pagi semalam, seluruh karyawan Kumpulan Media Karangkraf khususnya Sinar Harian menerima berita yang mengejutkan. Penolong Editor Sinar Harian Edisi Johor, Khairul Azizi Alam sudah kembali ke rahmatullah.
Khairul Azizi meninggal dunia pada usia 39 tahun di Sentosa Specialist Hospital, Klang, akibat serangan jantung, awal pagi semalam.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Karangkraf untuk diberi penghormatan terakhir oleh sahabat di sini. Jenazah juga turut disolatkan di sini sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya untuk disemadikan.
Sejak menerima berita pemergiannya, hingga ke saat ini, hati kami diselubung duka.
'Hari ini adik tersayang Khairul Azizi Alam telah kembali ke rahmatullah. Hari ini juga hari kelahiran bapaku Alam Mahmod. Dugaan amat berat ya ALLAH. Berikanlah kekuatan aku menempuhnya. Hanya Al-Fatihah dapat kuberikan semoga rohnya dicucuri rahmat.'
Demikian coretan Khairul Azzame, 41, abang kepada Allahyarham dalam laman Facebook semalam yang begitu menyentuh perasaan.
Jenazah arwah dibawa pulang ke rumah keluarganya, di Lorong Haji Ahmad, Jalan Naib Long, sebelum dikebumikan di Bukit Kontang, Tangkak, selepas Zuhur.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rahayu Said, 36, dan empat cahaya mata, Muhammad Alif Farhan, 11; Muhammad Aqif Faheem, 7; Nurhana Sophea, 4, dan Muhammad Aqil Fareeq, 8 bulan.
Allahyarham berkhidmat di Karangkraf hampir 10 tahun sebagai wartawan Bacaria, sebelum menjadi wartawan rencana di Sinar Harian.
Di Tangkak, hadir memberi penghormatan terakhir, Pengurus Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang dan Editor Sinar Harian Edisi Johor, Mohd Hanafiah Hashim.
Abang sulung arwah, Khairul Annuar, 43, ketika ditemui berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya itu pada 21 Jun lalu, ketika pulang ke kampung menghadiri majlis perkahwinan sepupu di Melaka.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik dan kelihatan ramah seperti kebiasaan apabila bertemu saudara mara di majlis tersebut.
“Saya terkejut mendapat tahu arwah meninggal dunia akibat serangan jantung kerana setahu saya, arwah tidak mempunyai penyakit juga aktif bermain badminton di tempatnya bekerja,” katanya.
Dia yang menetap di Johor Bahru berkata, berita kematian adik bongsu itu diketahui melalui ibunya, Fadzilah Ab Gani, yang menghubunginya kira-kira jam 5 pagi.
0 comments:
Post a Comment