Kuantan – Pesakit barah lidah, Zulkifli Mohd Ali, 36, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4.15 petang kelmarin, di rumah keluarganya di kampung Sura Hujung, Dungun, Terengganu.
Bapa kepada dua anak itu, kembali ke rahmatullah selepas tujuh bulan menderita dan bertarung nyawa melawan barah yang berpunca daripada tunggul gigi yang tidak dapat dicabut setelah bergesel dengan lidah.
Kisah Allahyarham pernah beberapa kali disiarkan dalam akhbar Sinar Harian apabila penderitaannya telah mendapat perhatian daripada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob pada Mei lepas.
Menurut isteri Allahyarham, Rosnany Ismail, 32, mereka kembali ke Dungun sejak 10 hari lepas, memandangkan keadaan suaminya yang semakin lemah dan langsung tidak boleh bergerak.
“Saya mengusulkan cadangan untuk membawanya pulang ke kampung apabila melihatkan keadaannya semakin uzur, tambahan pula di kampung ramai ahli keluarga dan adik-beradik berbanding di Kuantan hanya ada saya seorang.
“Walaupun tidak berdaya, namun arwah bersetuju untuk tinggal di kampung dan ternyata hayatnya berakhir di kampung di sisi anak dan ahli keluarga yang lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Dalam pada itu, katanya, sebelum meninggal Allahyarham sudah tidak dapat bercakap lagi namun hanya sempat mencoret pesanan terakhirnya di atas sekeping kertas.
“Arwah menulis kepada saya seolah-olah tahu dia hendak pergi meninggalkan kami, dia meminta saya menjaga anak-anak serta membesarkan mereka sebaik mungkin.
“Sejak itu, saya langsung tidak meninggalkannya bersendirian dan sentiasa memegangnya sehingga akhir hayatnya. Alhamdulillah dia meninggalkan kami dengan tenang dan saya juga bersyukur dia dapat menghembuskan nafas pada Ramadan,” katanya.
Katanya, walaupun keinginan untuk melihat suami sembuh satu hari nanti tidak tercapai namun melihatkan penderitaan dihadapi dia reda dengan pemergian tersebut.
“Sedih memang sedih, selepas disahkan mengidap barah lidah pada Disember lalu, dan melihat genap tujuh bulan dia menderita saya rasakan biarlah dia pergi, mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini.
“Apa yang penting saya perlu kuatkan semangat dan terus berusaha membesarkan dua anak kami. Setakat ini saya masih belum memikirkan nasib yang akan dilalui namun setelah keadaan tenang, saya dan anak-anak akan pulang semula ke Kuantan untuk terus bekerja sekiranya masih diterima majikan,” katanya.
Sementara itu, katanya, jenazah Zulkifli telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Hujung, Dungun selepas solat sunat tarawih, kira-kira jam 10 malam, kelmarin.
0 comments:
Post a Comment