Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 3, 2014

DUA ANGGOTA GENG PADU DIDAKWA


Norfaizullah (dua kanan) dan Mohd Fadlullah (dua kiri) diiringi anggota polis ke lokap mahkamah sementara menunggu wang jaminan dijelaskan selepas mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan samun berkumpulan bersenjata dan pecah rumah.

Kuantan - Dua anggota Geng Padu yang dicekup polis 17 Jun lalu kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan samun di sekitar bandar Kuantan dihadapkan ke mahkamah semalam, atas tuduhan samun berkumpulan bersenjata dan pecah rumah.

Kedua-dua tertuduh, Norfaizullah Abdullah, 25, dari Kampung Baru Pandan, Batu 5, Jalan Gambang dan rakannya, Mohd Fadlullah Ahmad, 26, dari Felda Sungai Panching Selatan dekat sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tuduhan samun bersenjata mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang disebut di Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Wahida Zainal Abidin di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali, kedua-dua tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas dituduh merompak seorang peniaga warga Pakistan berusia 26 tahun menggunakan pisau sebelum melarikan hasil kutipan jualan kira-kira RM2,000.

Tertuduh yang bekerja sebagai pencuci kereta dan mekanik didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis kedai di Lot 2/924, Lubuk Puyu, Jalan Tas 1, Taman Tas dekat sini kira-kira jam 1.45 petang 12 Jun lalu.

Tertuduh melarikan diri dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax bagaimanapun dia dan beberapa anggota Geng Padu berjaya ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Bukit Ubi di sini, 17 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu mereka dituduh mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pihak Pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas kedua-dua tertuduh.

Bagaimana pun Wahida berkata, jika mahkamah bersedia mempertimbangkan untuk membenarkan tertuduh diikat jamin, jumlah jaminan yang tinggi perlu dikenakan iaitu RM10,000 dengan beberapa syarat tambahan.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Hakimie Ali merayu agar jumlah jaminan terhadap tertuduh dikurangkan memandangkan pendapatan mereka hanya RM400 dan RM900 sebulan selain faktor kesihatan ibu bapa yang uzur.

Siti Aminah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan dua syarat tambahan iaitu mereka perlu melaporkan diri di balai polis selain tidak dibenarkan keluar daerah tanpa kebenaran mahkamah manakala kes akan disebut semula 8 Ogos depan.

Sementara itu dalam Mahkamah Majistret Kuantan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi rakan, Muhammad Faiz Najmi Jamalul Khairil, 24, dari Felda Sungai Panching Timur mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan pecah rumah dan melarikan sejumlah barangan bernilai kira-kira RM15,000.

Dalam kejadian di sebuah rumah, Lorong Pandan Damai 2/17 Taman Tas dekat sini antara jam 7.15 pagi hingga 6.15 petang, 16 Jun lalu, tertuduh didakwa melarikan sebuah televisyen, barang kemas, wang tabung RM1,500, kasut sukan, permainan video dan dua telefon bimbit milik mangsa, seorang wanita berusia 31 tahun membabitkan kerugian kira-kira RM15,000.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh didenda.

Kes dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan syarat penjamin dari kalangan ahli keluarga terdekat.

Mereka juga diperintah melaporkan diri di Balai Polis Kuantan setiap dua minggu.

Kes akan disebut semula dalam mahkamah sama 23 Julai depan.

0 comments:

share2