Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 9, 2014

KREATIF CIPTA MERCUN UNDANG PADAH


Remaja ini cedera setelah mercun buatan sendiri mengenai wajahnya. - Foto arkib

Kuala Lumpur - Kreatif dan ingin menghasilkan mercun buatan sendiri adalah antara punca berlakunya kes-kes kemalangan akibat bermain mercun di negara ini.

Golongan remaja yang disifatkan sebagai kreatif tidak pada tempatnya itu sering kali menjadi mangsa mercun buatan sendiri sehingga ada kes yang meragut nyawa sendiri.

Pakar psikologi, Dr Abdul Jalil Hassan memberitahu Bernama di sini hari ini, golongan remaja Generasi Y (Gen Y) sememangnya kreatif dan mahu mencipta sejarah dengan hasil ciptaan mereka tanpa mengambil kira kesan bahaya yang bakal dihadapi.

Beliau berkata saban hari tersiar di dada akhbar laporan kecederaan atau kematian akibat perbuatan tersebut dan ia disebabkan golongan remaja itu masih mencari identiti dan suka mencuba sesuatu benda baharu.

Katanya, mereka akan mencipta meriam buatan sendiri dengan menggunakan bahan buangan seperti batang paip, tong air atau minyak dan hanya mengeluarkan sedikit wang untuk membeli karbaid.

"Lagi kuat bunyi meriam ciptaan mereka, lagi hebat mereka rasa tetapi tidak tahu padah bakal mengundang," katanya mengakui remaja sebegini juga suka mencari perhatian dan pujian.

Abdul Jalil yang juga Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, kaedah terbaik untuk mengatasi masalah itu ialah kesedaran peranan ibu bapa sendiri.

"Kita faham satu daripada sikap golongan remaja ialah sukar untuk menerima teguran daripada orang yang lebih berumur termasuk ibu bapa dan naluri mereka pula apabila dilarang, mereka akan terus lakukannya," kata beliau.

Sehubungan itu ibu bapa perlu bijak membimbing, mendidik dan memberi perhatian agar anak-anak mereka tidak menjadi mangsa akibat perbuatan sendiri.

"Ibu bapa perlu membimbing agar mereka tidak mencipta sesuatu yang berbahaya dan salah di sisi undang-undang dan memberi penerangan mengenainya dengan meluangkan masa bersama anak-anak, berkongsi minat dan mendengar apa kecenderungan mereka," katanya lagi.

Abdul Jalil juga menasihatkan ibu bapa agar tidak menghukum atau menyisihkan anak-anak mereka yang tercedera akibat bermain meriam dan mercun buatan sendiri itu kerana ia mendatangkan kesan psikologi tidak baik kepada mereka.

Katanya ibu bapa perlu memberi sokongan moral dalam membina semula keyakinan diri anak-anak mereka untuk berhadapan dengan masyarakat terutama bagi mereka yang mengalami kecacatan kekal seperti hilang jari atau kaki.

"Jangan hukum mereka untuk kali kedua. Kesakitan mengajar mereka untuk sedar dan insaf atas kesilapan. Malah tumpuan dan sokongan dari ibu bapa turut membantu merapatkan hubungan kekeluargaan," katanya.

0 comments:

share2