“Usah bimbang, air cukup” demikianlah kata-kata sakti dari Menteri Besar rakyat, Khalid Ibrahim apabila diasak dengan soalan-soalan berdasarkan gangguan bekalan air yang terjadi minggu lalu di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang semalam.
Untuk entah berapa kalinya, Khalid terus berjanji, bahawa air cukup untuk kegunaan rakyat Selangor sempena Aidifitri yang bakal tiba. Cuma kali ini, beliau memilih alasan yang lain pula, iaitu masalah logistik; pengaliran air terawat untuk kegunaan isi rumah mungkin menjadi faktor utama sekiranya terjadi gangguan bekalan. Menurut Khalid, kerajaan negeri mempunyai perancangan bahawa air mentah cukup.
Penulis faham cubaan Khalid untuk “bermain” aspek teknikal dan sekaligus cubaan mematikan hujah bahawa ianya berpunca dari ketiadaan air mentah yang cukup. Namun, apakah Khalid tidak tahu, bahawa gangguan bekalan air beberapa minggu yang lalu juga adalah akibat dari kekurangan air mentah dari Sungai Selangor yang menyebabkan pengeluaran air terawat di loji terpaksa diturunkan dan bukannya disebabkan masalah logistik?
Isunya tetap air mentah… faham?
Dan selalunya jika berlaku situasi paip pecah atau seumpamanya, akan ada notis hebahan umum, dan rakyat biasanya faham dan tidak panik kerana ianya bersifat sementara. Namun apa yang telah berkali-kali berlaku adalah disebabkan oleh ketidakupayaan kerajaan negeri menyediakan air mentah, selaku punca krisis yang melanda Selangor yang bertitik tolak dari permainan politik tanpa sempadan.
Apa yang membimbangkan penulis ialah, berdasarkan data yang diambil daripada laman web Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada 2 Julai, 7 empangan Selangor makin merosot berbanding pada 15 Jun yang lalu. Kalau dengan paras yang sedia ada pada 15 Jun pun, sudah ada pengguna yang menerima akibatnya, apa pula akan berlaku sekiranya paras air semakin merosot hari ini?
Apakah kemerosotan buat sekian kalinya ini bakal mengundang padah di musim perayaan, atau rakyat Selangor boleh sekali lagi percaya kepada kata-kata Menteri Besar paling “cemerlang” dalam mengurustadbir Selangor seperti yang sering diwar-warkan PR bahawa air di Selangor cukup untuk kita menyambut Aidilfitri nanti?
Mungkin ramai yang sedang mengira, sudah berapa kali Menteri Besar Selangor berjanji bahawa air di Selangor cukup.
0 comments:
Post a Comment