Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 21, 2014

TUJUH DICEKUP PONTENG SOLAT JUMAAT




Rompin – Kedai makan, kedai alat memancing dan taman permainan di Bandar Kuala Rompin, di sini, didapati menjadi ‘port’ bagi lelaki yang ponteng solat Jumaat apabila seramai tujuh individu termasuk dua warga asing ditahan.

Operasi yang melibatkan Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) dari beberapa daerah lain itu bermula sejurus selesai azan dilaungkan.

Kadi Daerah Rompin, Adnan Mamat, berkata, adalah menjadi satu kesalahan yang besar bagi seorang lelaki Muslim tidak pergi menunaikan solat Jumaat kecuali dengan sebab serta alasan yang kukuh.

“Tangkapan tujuh lelaki berkenaan termasuk dua warga asing yang merupakan pekerja ladang di daerah ini dibuat sekitar jam 1.35 petang di tiga lokasi iaitu kedai makan, kedai alat memancing dan taman permainan.

“Kesemua mereka yang ditahan memberi kerjasama dan seterusnya dibawa ke Paid Rompin untuk tindakan lanjut selain diberi kaunseling oleh Timbalan Kadi Rompin, Mohd Nor Senawi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Adnan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 iaitu mana-mana lelaki yang akil baligh tetapi tidak menunaikan solat Jumaat tanpa uzur syarie adalah melakukan suatu kesalahan.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau keduanya.

“Pihak Paid Rompin dan juga daerah lain sedang membuat pemerhatian serius terhadap perbuatan dengan tidak menghadiri solat Jumaat,” katanya.

0 comments:

share2