KUANTAN - Pengusaha restoran dan pemilik hotel diingatkan supaya tidak mengelirukan masyarakat Islam dengan menggunakan perkataan iftar sewenang-wenangnya bagi mempromosikan bufet Ramadan jika tidak memiliki sijil halal.
Kadi Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), Abdul Zaki Mohd Zain berkata, pengusaha hotel atau restoran yang memiliki sijil halal dibenarkan menggunakan perkataan iftar dalam iklan masing-masing.
Menurutnya, tindakan terbabit bagi memastikan masyarakat Islam dapat membezakan antara sajian bufet Ramadan yang mempunyai sijil halal dan sebaliknya.
“Kita melarang pemilik hotel atau pengusaha kedai makan untuk menggunakan perkataan iftar pada papan iklan sewenang-wenangnya bagi melariskan bufet Ramadan, walaupun hakikatnya mereka tidak mempunyai sijil halal.
“Larangan berkenaan dikuatkuasakan tahun ini bagi menggalakkan mereka memohon sijil halal, sekali gus keraguan status halal bufet Ramadan dapat diselesaikan,” katanya.
Abdul Zaki berkata, peniaga bazar Ramadan di daerah ini turut digalakkan memohon sijil halal bagi menjaga makanan selain dapat memastikan kandungan yang digunakan daripada sumber halal dan bersih.
“Sijil halal bukan hanya tertakluk kepada sumber atau kandungan makanan saja, namun penyediaan serta kawasan persekitarannya juga perlu bersih dan bebas daripada segala bahan tercemar seperti sampah dan sisa buangan.
"Dengan adanya sijil halal, ia boleh mendisiplinkan peniaga untuk sentiasa mengekalkan kebersihan dan memastikan kandungan atau sumber daripada yang halal dan tidak meragukan,” katanya.
Menurutnya, kebersihan dan kesucian dalam penyediaan makanan adalah perkara utama yang perlu dititikberatkan masyarakat Islam dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata hingga mengabaikan perkara terbabit.
0 comments:
Post a Comment