KUANTAN - Mahkamah Tinggi Kuantan semalam membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk perbicaraan serentak kes bunuh Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Abd Malek membabitkan ketua ajaran sesat ‘Ajaran Harun’ iaitu Harun Mat Saat dan lima pengikutnya, Oktober depan.
Permohonan itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Khamizah Salleh, semalam.
Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menetapkan tarikh perbicaraan kes tersebut bermula 27 hingga 31 Oktober depan.
Manakala, beliau juga menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh pengurusan kes bagi pihak pendakwaan dan pembelaan agar prosiding seterusnya dapat berjalan lancar serta pantas.
Dalam pada itu, Harun yang diserang angin ahmar sejak Jun tahun lalu, hadir ke mahkamah dengan berbaju putih dan berkerusi roda.
Terdahulu, tertuduh Harun, 48, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd Zol, 31, pemandu Harun, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 38, dan tiga lagi pengikutnya, Jefferi Safar, 37, Sumustapha Suradi, 39, Shamsinar Abdul Halim, 37, serta seorang lagi yang masih bebas dituduh melakukan konspirasi jenayah dengan bersetuju antara mereka berniat membunuh Ahmad Raffli pada 10 November tahun lepas.
Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di rumah mangsa di Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota di sini kira-kira 1.50 petang, 10 November 2013.
Kesemua tertuduh yang hadir, diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
0 comments:
Post a Comment